Pertembungan idealisme dan pragmatik pemilihan PKR?


Awang Azman Awang Pawi

BARU-BARU ini Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menegaskan perlunya parti itu bersedia “menjulang prinsip demokrasi” sekiranya jawatan presiden parti itu dibuka untuk pertandingan.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan orang politik baik di luar atau dalam parti tersebut.

Ketua Wanita PKR itu yang dilihat sebagai orang kanan Azmin Ali juga menegaskan perjuangan isu demokrasi harus bermula daripada kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Tindakan membuka gelanggang pertandingan lebih luas tidak bermakna cubaan untuk memadamkan sumbangan dan peranan Ketua Umum Anwar Ibrahim dan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Azmin dan Zuraida dilihat sebagai kumpulan pesaing dalam PKR yang dikatakan berdepan Anwar dan isterinya, Wan Azizah yang kini timbalan perdana menteri.

Kocakan dalaman PKR dikatakan bermula dengan kewujudan kumpulan Azmin dan Naib Presiden Rafizi Ramli. Lama kelamaan situasi ini dilihat sebagai kumpulan Azmin dengan kumpulan Wan Azizah dan Anwar meskipun hubungan Anwar-Azmin dilaporkan tidak ada masalah.

Anwar baru-baru ini mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu September ini. Kemungkinan besar sekiranya ini berlaku, Wan Azizah pula akan menyandang jawatan ketua umum yang disandang oleh suaminya itu.

Pengumuman Anwar ini dilihat sebagai isyarat bahawa beliau masih lagi berkuasa dan mengawal PKR sebagaimana dulu. Dikatakan sebelum ini, ramai yang pernah bersama Anwar kini lebih dekat dengan Azmin hingga dikatakan terdapat 60% perwakilan bahagian bersama Azmin.

Namun sejak pembebasan Anwar dan pengumuman beliau bertanding jawatan presiden ramai dikatakan mulai kembali mendekati Anwar. Langkah bertindak cepat isytihar untuk bertanding presiden sebenarnya menghantar isyarat beliau masih relevan.

Buktinya, calon pilihan raya kecil Sungai Kandis jelas dikatakan merupakan pilihan Anwar, bukan sebaliknya.

Suara Zuraida ditafsirkan sebagai kem Azmin terserlah apabila banyak memuji dan menyenaraikan kehebatan pentadbiran Selangor dan sumbangan penting Azmin ketika menggalas jawatan sebagai menteri besar.

Hal ini tidaklah dapat dinafikan apabila pada PRU13, BN menang di 12 kerusi DUN, manakala gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS pula memenangi baki 44 kerusi lain.

Pada PRU baru-baru ini pula, BN hanya mampu menang empat kerusi, manakala PAS hanya, manakala atas tiket PKR menang 51 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

BN hanya menang dua Parlimen saja berbanding PH yang memperoleh 20 daripada 22 Parlimen yang dipertandingkan.

Kepimpinan Azmin dilihat memainkan peranan ini meskipun terdapat faktor lain yang menyumbang kemenangan besar PH di Selangor. Pelantikan Azmin selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan kemampuan Azmin diiktiraf.

Beliau diberikan amanah mengawasi syarikat-syarikat besar negara termasuk Petronas, Khazanah Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad bernilai lebih RM1 trilion yang dilihat seolah-olah lebih berpengaruh daripada kementerian kewangan.

Malah agensi Bumiputera seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu juga termasuk dalam bidang kuasa yang dikuasai.

Situasi ini pula seolah-olah mesej Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menaruh kepercayaan dan harapan tinggi terhadap Azmin. Maka, wujudlah pandangan jika Azmin bertanding jawatan presiden dan kalah maka selagi Dr Mahathir menjadi perdana menteri, kedudukan politik Azmin yang memegang jawatan Kabinet tetap tidak tergugat.

Malah ada pandangan, sekiranya Azmin kalah dalam pemilihan ini, maka Azmin dan kumpulannya akan menyertai parti Bersatu.

Sebenarnya tindakan memberikan kuasa dan jawatan yang besar kepada Azmin menyebabkan ada persepsi seolah-olah Azmin kini anak emas Dr Mahathir. Pada masa sama ia juga dilihat langkah untuk memastikan semak dan imbang dalam struktur kuasa PKR dilakukan oleh Dr Mahathir.

Tindakan ini juga dirasakan perlu agar Bersatu akan terus disokong kerana PKR merupakan parti politik terbesar dalam komponen PH manakala Bersatu hanya mempunyai 13 kerusi.

Situasi ini menyebabkan ada kemungkinan keputusan pada saat-saat akhir untuk Azmin menawarkan diri bertanding presiden parti tidak dapat dielakkan dan ini bergantung kepada sentimen semasa dalaman PKR.

Namun harapan Azmin untuk bertanding sebagai calon presiden pula setakat ini tipis kerana hubungan Azmin-Anwar tidaklah dingin sebagaimana diperbesarkan.

Kini dikatakan ada desakan kuat dalam PKR terutama dalam kalangan pihak berpengaruh mahu Rafizi bertanding mencabar Azmin sebagai timbalan presiden parti pada pemilihan akan datang.

Hal ini bersandarkan hujah untuk mengembalikan semangat reformasi yang dikatakan mulai terancam. Golongan yang menyokong Rafizi ini dikatakan sebahagian besar daripada mereka tidak terpilih dalam jawatan Kabinet baru-baru ini.

Golongan ini meletakkan Rafizi sebagai ayam tambatan PRU14 yang dilihat turut berperanan melalui kerja kempen dan penyelidikan dalam PRU terutama melalui Invoke. PKR dikaitkan dengan dua pusat penyelidikan penting, iaitu Invoke yang ditubuhkan oleh Rafizi manakala Institut Darul Ehsan (IDE) pula ditubuhkan ketika Azmin menjadi menteri besar Selangor.

Ketika ini terdapat persepsi dan perspektif yang berbeza. Dalam kalangan pendukung Rafizi mendakwa sokongan terhadap Rafizi lebih kuat daripada Azmin.

Laporan The Malaysian Insight baru-baru ini memetik seorang ahli parlimen PKR yang enggan dinamakan yang mendakwa “Azmin banyak membuat keputusan membelakangkan parti” misalnya percaturan politik Azmin menjelang PRU14 meneruskan kerjasama dengan PAS. Ketika itu, di peringkat pusat sepakat dengan PH menolak parti Islam itu.

Isu pemilihan calon pilihan raya dan calon menteri besar Selangor juga dikatakan kuat dipengaruhi Azmin.

Namun di satu pihak lagi kalangan penyokong Zuraida menyatakan Wanita negeri di Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang kurang berpuas hati apabila nama mereka tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum meskipun mereka sudah lama berjuang dalam parti.

Ada juga dicalonkan namun di kawasan yang lain bukan di kawasan tempat mereka bergerak sejak lama. Dengan kata lain terdapat perang dingin yang lunak dalam kalangan penyokong masing-masing. Fuziah Salleh dan Zuraida merupakan kumpulan berbeza dalam PKR manakala Haniza Talha pula dianggap orang kepercayaan Zuraida.

Sebenarnya kedua-dua kumpulan ini mempunyai kedudukan dan pengaruh di akar umbi. Hasil keputusan pertembungan antara Rafizi dan Azmin sekiranya terdapat pertandingan berupaya memancarkan hala tuju kepimpinan tertinggi PKR dengan lebih jelas.

Anwar juga pernah dipetik pernah secara bergurau menyatakan apa salahnya kalau Rafizi menjadi timbalannya apabila beliau menjadi perdana menteri pada masa akan datang. Kesemua ini mengundang pelbagai tafsiran politik.

Apa pun, sukar untuk “meruntuhkan” rangkaian luas Azmin dengan akar umbi parti selama 20 tahun, sejak gerakan reformasi tercetus pada September 1998. Azmin mempunyai banyak pengaruh dan rangkaian di peringkat akar umbi lebih-lebih lagi Azmin terlebih dulu dalam PKR berbanding Rafizi.

Ketika ketiadaan Anwar, Azmin mengisi kekosongan itu sehinggalah beliau menjadi menteri besar Selangor.

Sebenarnya gabungan Anwar dan Azmin tetap diperlukan untuk memantapkan parti dan Pakatan Harapan.

Pertembungan Rafizi dan Azmin boleh melemahkan PKR pada ketika PH belum lagi mantap sepenuhnya khususnya apabila isu manifesto pilihan raya, isu berkaitan etnik, agama dan bahasa masih lagi berlegar dalam kalangan konservatif Melayu.

Ketika ini jugalah ujian kepercayaan dan kesetiaan berlaku dalam pimpinan dan pemilihan PKR tidak lama lagi. – 23 Julai, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen