China-Jepun rebut pembangunan Bandar Malaysia


The Malaysian Insight

Bandar Malaysia akan berasaskan pengangkutan awam dengan terminal kereta api laju KL-Singapura dan hab pengangkutan kepada MRT, Komuter KTM, kereta api ekspres dan 12 lebuh raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2017.

PEREBUTAN untuk membangunkan Bandar Malaysia kini bertukar menjadi pertembungan antara China dan Jepun.

Ia bukan saja akan menjadi hartanah termahal dalam negara tetapi ia juga membuka peluang untuk membina terminal kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura – satu kelebihan yang pasti dalam merebut kontrak membina landasan itu.

Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight yang Mitsui, Daiwa, China State Construction dan China Resources antara syarikat yang sudah pun menghantar tawaran untuk menjadi pemaju utama untuk Bandar Malaysia, sebagai respons kepada permintaan cadangan (RFP) yang tarikh akhirnya Khamis ini.

Tawaran mereka dikatakan melebihi AS$8 bilion berbanding perjanjian membangunkan Bandar Malaysia sebelum ini yang dibatalkan Kementerian Kewangan (MoF) selepas syarat tertentu tidak dipenuhi.

Sementara projek itu menarik minat syarikat China, kemasukan dua konglomerat Jepun mengejutkan, menunjukkan wujud pemikiran di Tokyo yang syarikat mereka perlu terbabit dalam Bandar Malaysia untuk mendapat peluang membangunkan projek landasan kereta api laju pula.

Bandar Malaysia akan menjadi hab terminal menghubungkan landasan kereta api antara dua negara Asia itu.

Kerajaan Malaysia dijangka akan melantik pemaju utama hujung tahun ini dan semua perjanjian mungkin akan ditandatangani sebelum pilihan raya umum akan datang iaitu pertengahan 2018.

Sebab kenapa ia perlu dibuat tergesa-gesa: berbilion ringgit yang diperoleh daripada penjualan hak pembangunan utama akan digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mei lalu, MoF membatalkan kontrak membangunkan Bandar Malaysia yang diberi kepada syarikat kerjasama China-Malaysia, Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation pada 2015.

Kementerian berkata konsortium itu gagal membuat bayaran ditetapkan walaupun diberi beberapa kali tempoh lanjutan.

Pada 2015, konsortium IWH-CREC memperoleh 60% pegangan di Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion.

Susulan pembatalan kontrak itu yang menjadi kontroversi dan pada mulanya dibantah IWH-CREC, Putrajaya memberi gambaran ia akan menandatangani kontrak dengan syarikat hartanah gergasi China, Dalian Wanda.

The Malaysian Insight difahamkan walaupun Perdana Menteri Najib Razak amat berminat dengan urus niaga Dalian Wanda, Beijing tidak begitu menggalakkan, dan berkata mereka lebih suka ia kepada syarikat milik kerajaan, melihat kepada kepentingan projek itu.

MoF kemudian membuat keputusan mengeluarkan permintaan cadangan dan mempelawa syarikat yang mampu mengendalikan projek, termasuk yang berjaya memperoleh pendapatan RM50 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah, yang juga pengerusi 1MDB mengumumkan semalam tarikh akhir RFP ialah 20 Julai dan beberapa tawaran sudah pun diterima.

Bagaimanapun, tidak ada butiran lain didedahkan. – 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen