Agong perkenan penubuhan suruhanjaya siasat kerugian forex Bank Negara


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kerugian ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga tukaran mata wang asing lebih 10 tahun lalu, kata Jabatan Perdana Menteri (JPM).  

Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan akan menjadi pengerusi suruhanjaya yang mempunyai enam ahli, kata JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

JPM berkata yang RCI akan menentukan kesahihan dakwaan kerugian BNM disebabkan spekulasi tukaran mata wang asing; menentukan sama ada aktiviti BNM dalam perdagangan forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain; dan menentukan sama ada wujudnya cubaan untuk melindungi kerugian itu.

RCI itu juga akan mencadangkan tindakan sesuai yang akan diambil kepada pihak yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skandal itu serta mencadangkan tindakan susulan bagi memastikan perkara seperti itu tidak lagi berulang, kata JPM.

RCI diberikan masa tiga bulan untuk melengkapkan siasatan dan menghantar laporan kepada Agong.

Ahli RCI lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Bin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Pemudah Khas Pemudahcara Perniagaan Saw Choo Boon, akauntan K Pushpanathan, dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusof Ismail.

Pengerusinya, Sidek juga akan mempengerusi pasukan petugas khas yang menyiasat kerugian forex BNM. Dia sebelum ini dilaporkan berkata yang RCI perlu ditubuhkan untuk menjalankan siasatan mendalam.

JPN menambah yang ahli RCi dipilih berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang berkaitan siasatan suruhanjaya, sementara Sidek dan Saw juga merupakan ahli pasukan petugas khas kes yang sama.

Pasukan petugas khas dibentuk tahun ini bagi menyiasat skandal kewangan yang berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Bekas Pembantu Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid mendedahkan pada Januari yang BNM kerugian AS$10 bilion (RM43 bilion) dalam pasaran pertukaran asing pada awal 1990-an, dan bukannya RM9 bilion seperti yang pernah didedahkan sebelum ini. – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen