MCA takut ‘tsunami Melayu’ kerana bergantung kepada Umno, kata DAP


Amin Iskandar

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon hari ini dilaporkan berkata yang khabar angin tsunami Melayu hanya bertujuan menakutkan pengundi Cina supaya mengundi pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2017.

BUKANNYA pengundi Cina tetapi MCA yang sebenarnya takut sekiranya berlaku “tsunami Melayu” pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana mereka terlalu bergantung kepada Umno, kata seorang ahli strategi DAP.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata, sekiranya orang Melayu tidak lagi mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, survival politik MCA juga akan berakhir.

“Sekiranya orang Melayu tidak lagi mengundi Umno, MCA juga akan turut terjerumus ke dalam tong sampah sejarah,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.

“Ini kerana selama ini, survival MCA bergantung kepada Umno dan bukan kepada kekuatan partinya sendiri.”

Hari ini The Star melaporkan kenyataan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon tentang khabar angin bakal berlakunya tsunami Melayu pada PRU14 untuk menakutkan pengundi Cina.

Timbalan menteri pendidikan itu, berkata dakwaan tersebut hanya untuk menakutkan pengundi Cina yang kemudiannya akan mengundi pembangkang kerana mereka percaya pengundi Melayu yang tidak berpuas hati juga akan berbuat demikian.

Liew memberitahu The Malaysian Insight khabar tentang bakal berlakunya tsunami Melayu pada PRU14 merupakan satu realiti dan benar-benar menakutkan BN.

“Apabila bukan Melayu merasakan Umno akan kalah teruk dalam tsunami menentang parti itu dan Perdana Menteri Najib Razak, majoriti rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk melihat perubahan kerajaan yang pertama dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengatakan tsunami Melayu bakal tercetus pada PRU14 kerana kaum terbesar di Malaysia itu sudah hilang kepercayaan kepada Umno.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu juga berkata, semakin ramai rakyat sedar yang Umno hanya sibuk mempertahankan pemimpin daripada memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara, dan mereka beralih memilih Bersatu.

Muhyiddin berkata keadaan itu menyebabkan Umno bimbang kerana berdepan dengan gelombang penentangan termasuk daripada akar umbi mereka sendiri.

Kebimbangan itu katanya semakin ketara apabila pemimpin Umno mula menyerang Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, malah Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengancam membuat pendedahan mengenai bekas perdana menteri itu sekiranya tidak berhenti mengkritik Najib. – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen