Kapal layar mewah dikaitkan dengan Jho Low disita lagi


KAPAL layar mewah dikaitkan dengan jutawan Jho Low, Equanimity dilaporkan disita sekali lagi oleh pihak berkuasa Indonesia dalam operasi pada 9 Julai lalu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyatakan perkara itu dokumen yang difailkan ke mahkamah semalam, lapor Malaysiakini.

Dokumen berkenaan dilaporkan menyatakan DoJ memohon pada 19 April untuk mendapatkan bantuan perundangan bersama (MLA) dari kementerian hal ehwal undang-undang Indonesia.

Susulan itu, operasi susulan dijalankan pihak berkuasa Indonesia dengan menaiki Equanimity dan menyita kapal layar mewah tersebut pada 9 Julai lalu.

“Pada 9 Julai 2018 pihak berkuasa Indonesia melaksanakan proses itu dengan menaiki Equanimity bersama satu salinan waran tangkap.

“Semasa di dalam kapal pihak berkuasa menyerahkan satu salinan waran tangkap ke atas kapal layar, serta satu lagi salinan waran tangkap untuk kapten Equanimity,” lapor Malaysiakini yang memetik kandungan dokumen itu.

Dokumen difailkan kepada mahkamah negeri California itu memaklumkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 16 Jun tahun lalu sudah dilaksanakan.

Operasi pertama oleh pihak berkuasa Indonesia ke atas kapal layar mewah dikaitkan dengan jutawan Low Taek Jho itu dijalankan kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun tindakan itu diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Daerah Jakarta kerana kerana MLA yang dikemukakan DOJ diserahkan terus kepada polis.

Menurut mahkamah tersebut, MLA tersebut sepatutnya melalui Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen