Nazir Razak, Tony Fernandes hadir rumah terbuka Bersatu Klang


Melati A. Jalil

Bos AirAsia Tony Fernandes dan Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak hadir acara rumah terbuka Hari Raya anjuran Bersatu Bahagian Klang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

DUA kapten industri yang rapat dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dilihat menghadiri acara rumah terbuka Hari Raya anjuran komponen parti Pakatan Harapan (PH).

Bos AirAsia Tony Fernandes dan Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak hadir acara tersebut yang diadakan oleh Bersatu Bahagian Klang, hari ini.

Bersatu adalah salah satu daripada empat parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sekitar 1,000 warga Klang hadir memeriahkan acara yang dianjurkan Ketua Strategi Bersatu merangkap Ketua Bersatu Bahagian Klang Rais Hussin.

Nazir, yang merupakan adik bekas perdana menteri Najib Razak, hadir bersama isteri dan meluangkan masa lebih 30 minit di rumah terbuka yang diadakan di Pandamaran, Klang.

“Saya hadir atas undangan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kehadirannya malam ini.

Jurubank veteran itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa mendakwa Najib.

Najib didakwa pada 4 Julai atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu, yang kecundang selepas BN tewas pada pilihan raya 9 Mei, berdepan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan, penasihat SRC International.

Beliau turut berdepan dakwaan lain di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Fernandez sementara itu menyifatkan Rais sebagai sahabat lama dan menafikan dakwaan yang beliau terlibat dalam mana-mana parti politik.

“Kami mengendalikan syarikat penerbangan, kami sokong semua orang,” kata Fernandez

Menjelang pilihan raya 9 Mei, ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan tambang rendah itu menerima kecaman rakyat Malaysia kerana menyokong kerajaan BN.

Beliau bagaimanapun memohon maaf dalam video selama tujuh minit yang dimuat naik ke Facebook miliknya selepas PRU14, berkata yang beliau didesak agar menunjukkan sokongan kepada kerajaan terdahulu.

Kerajaan PH menyingkirkan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan sebagai usaha memperbaharui dan meningkatkan pencapaian syarikat negara.

Nazir sebelum ini mengumumkan yang beliau bersedia meletak jawatan jika diarahkan untuk berbuat demikian oleh lembaga pengarah bank berkenaan.– 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen