Nazir Razak sedia berundur jika diminta lembaga pengarah CIMB


Saya habiskan 29 tahun di sini- satu-satunya kerja saya- dan saya akan sentiasa buat apa yang terbaik untuk CIMB, kata Nazir Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2018.

NAJIB Razak memecahkan kesunyian tentang teka teki kedudukannya dalam CIMB hari ini, berkata beliau sedia melepaskan jawatan sebelum Ogos 2019 jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi CIMB itu berkata beliau masih belum memutuskan sama ada akan memohon lanjutan khidmat selaku pengerusi Kumpulan Perbankan CIMB.

Pengerusi CIMB itu juga menjelaskan yang beliau tidak berhubung dengan sesiapa atau mana-mana organisasi mengenai kedudukannya dalam bank itu.

“Jawatan pengerusi CIMB ditentukan oleh lembaga pengarah, pemilik kepentingan dan Bank Negara Malaysia, dan jika pada bila-bila masa mereka mahu saya berundur, saya akan dan perlu patuhi. Saya habiskan 29 tahun di sini- satu-satunya kerja saya- dan saya akan sentiasa buat apa yang terbaik untuk CIMB,” katanya dalam satu kenyataan pendek dikeluarkan petang ini.

Akhbar The Star hari ini melaporkan yang Nazri dijangka berundur daripada Kumpulan Perbankan CIMB dan lembaga pengarah sedang mencari pengganti beliau.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan yang pengerusi bank kedua terbesar negara itu mahu meneruskan khidmatnya sehingga habis penggal yang berakhir Mac depan, tetapi bersedia berundur jika pihak berkuasa mahukan beliau berbuat demikian.

 “Kami sudah bekerja keras untuk membina institusi yang kukuh dan ditadbir oleh proses yang teguh supaya ia tidak bergantung kepada individu tertentu.

“Tetapi saya merasakan ketidaktentuan kepimpinan tidak membantu, jadi saya harap respon saya kepada artikel The Star memberikan penjelasan yang jelas dalam keupayaan saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan yang beberapa jurubank, ketua pegawai eksekutif, pengarah, ketua dan duta berprofil tinggi akan menamatkan khidmat mereka hari ini dalam proses pembersihan besar-besaran lantikan politik dalam sektor strategik negara. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen