Putrajaya singkir lantikan politik di GLC, agensi, kedutaan


Jahabar Sadiq

Sejak perubahan kerajaan, pembersihan lantikan politik di semua sektor berlaku, terbaru jadi sasaran pegawai tinggi syarikat berkaitan kerajaan, agensi dan kedutaaan. – Gambar EPA, 29 Jun, 2018.

MENJELANG esok, sejumlah ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah, ketua dan duta berprofil tinggi akan menamatkan perkhidmatan mereka ketika kerajaan Dr Mahathir Mohamad menyempurnakan pemberhentian lantikan politik era Najib Razak.

Putrajaya menetapkan 30 Jun sebagai tarikh akhir untuk membersihkan saki baki kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun ada beberapa yang terlibat memohon pelanjutan bagi mengelakkan malu dipecat.

Antara yang menamatkan khidmat termasuklah CEO Tabung Haji Johan Abdullah, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Leo Moggie dan beberapa pengarah dan pegawai kanan lain.

“Sabtu adalah tarikh akhir untuk mereka yang lain. Ada juga yang minta penangguhan sementara menunggu penyelesaian isu pengganti,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Saya rasa mereka tak mahu diaibkan kerana dipecat terlalu cepat,” katanya sambil menambah yang wujud gesaan untuk mengekalkan sebilangan eksekutif ini.

Difahamkan yang dua pegawai kanan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga dijangka berundur kerana pengganti mereka sudah dikenal pasti.

Beberapa jurubank kanan bank GLC juga diminta berundur, kata sumber itu lagi.

Duta Malaysia ke Indonesia Zahrain Mohamad Hashim adalah antara lantikan politik yang dijangka berundur Sabtu ini. Beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Bayan Baru pada pilihan raya 2008 tetapi meninggalkan PKR untuk menyertai Umno pada 2010. Najib melantiknya sebagai duta selepas pilihan raya 2013.

Zahrain tidak kelihatan semasa lawatan terbaru Dr Mahathir ke Jakarta semalam.

Sejumlah eksekutif dan pegawai kanan sudah menyaksikan kontrak mereka tidak diperbaharui dan sebilangan lain sudah bersetuju untuk letak jawatan.

Antaranya ialah CEO Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Mohd Badlisham Ghazali, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Halim Shafie, Ketua Pegawai Operasi (COO) SKMM Dr Mazlan Ismail dan Ketua Pegawai untuk Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi Dr Fadhlullah Suhaimi.

Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan dan Pengarah Bukan Eksekutif Omar Mustapha Ong pula menamatkan khidmat mereka di syarikat petroleum negara itu minggu lepas. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bagus tindakan tun m, kerana kite takmau pentadbiran negara bercampur aduk dgn politik.. hal politik seharusnye inisiatif masing2, tugasan tetap dijalankan seperti biasa..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan