Alumni La Salle mahu kemuka cadangan pembaharuan sekolah mubaligh


Low Han Shaun

Presiden Malaysian Federation of La Sallian Alumni Associations (MFOLSA), Michael Simon berkata yang pertama sekali ingin dicadangkan ialah untuk menukar kesemua 44 sekolah La Salle di seluruh negara kepada sekolah aliran Bahasa Inggeris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

PERSATUAN alumni sekolah-sekolah La Salle, Malaysian Federation of La Sallian Alumni Associations (MFOLSA) akan mengemukakan satu kertas kerja kepada Kementerian Pendidikan untuk mencadangkan pembaharuan bagi sekolah-sekolah mubaligh di Malaysia.

Yang pertama sekali ingin dicadangkan ialah untuk menukar kesemua 44 sekolah La Salle di seluruh negara kepada sekolah aliran Bahasa Inggeris, kata Presiden MFOLSA, Michael Simon.

“Kami mahu bawa murid kami kembali ke aliran Bahasa Inggeris,” Simon memberitahu The Malaysian Insight selepas acara Kejohanan Sukan La Salle di Petaling Jaya semalam.

“Ini penting sebab kita bercakap mengenai Malaysia Baru dan perdana menteri sudah memberitahunya dengan jelas dengan memberitahu penjawat awam yang mereka perlu menguasai Bahasa Inggeris,” katanya.

Simon berkata MFOLSA berharap untuk menjadikan semua sekolah La Salle sebagai pelopor dengan menjadi contoh bagaimana sekolah aliran Bahasa Inggeris profesional boleh dilaksanakan dalam konteks Malaysia.

Cadangan MFOLSA itu katanya, disokong oleh sekolah-sekolah mubaligh lain dan kumpulan itu berharap dapat mengadakan satu pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Dengan kerajaan baru sekarang, kita bercakap mengenai pembaharuan, dan kita berharap untuk mengadakan pertemuan dengan menteri pendidikan,” kata Simon.

Beliau berkata kertas kerja itu akan diserahkan kepada Maszlee selepas mendapat kelulusan dari De La Salle Brothers of Malaysia.

Simon menambah, cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah mubaligh di Malaysia sudah wujud “bertahun-tahun lamanya”, dengan menyebut pendaftaran pelajar yang sedikit serta kekurangan tenaga pengajar sebagai antara isu utama.

“Bukan hanya sekolah La Salle, cabaran yang sama juga dihadapi oleh sekolah mubaligh lain.

“Sudah tentu kami sentiasa mahu berbincang dengan Kementerian Pendidikan (MOE), cabaran menaik taraf sekolah, pembiayaan, selenggaraan dan semuanya,” katanya.

Ketika ini, terdapat 44 buah sekolah La Salle di seluruh Malaysia, iaitu 32 di sebelah barat Malaysia dan 12 lagi di Malaysia timur.

Setiap sekolah mempunyai purata 800 hingga 1,200 murid.

Malaysia mempunyai 13 pihak berkuasa mubaligh yang memiliki sekolah mubaligh, di mana terdapat 433 sekolah dengan jumlah keseluruhan 240,000 murid.

Bagaimanapun, selain jumlah pendaftaran yang semakin berkurang, sekolah-sekolah mubaligh ini yang kebanyakannya berusia lebih darpada 100 tahun juga kekurangan dana untuk penyelenggaraan. – 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen