Menteri perlu berundur sebelum gesa ahli politik pembangkang letak jawatan


 

BARU-BARU ini, seorang menteri muda yang menjaga portfolio belia dan sukan dengan lantang meminta beberapa ahli politik veteran daripada pihak pembangkang bersara. Alasannya kerana mereka memecahbelahkan negara.

Lucu sekali menteri kita bukan? Patutlah ada segelintir belia di negara ini yang meminati beliau.

Betulkah mereka memecahbelahkan negara? Sejak bila pula mengkritik pihak pemerintah kerana mencuri harta negara dianggap memecahbelahkan negara?

Bagaimana graduan lulusan Oxford ini boleh berfikiran sempit sebegini sekali? Malah agama juga menyuruh kita mengamalkan konsep amar ma’ruf nahi munkar (al`amru bil-ma’ruf wannahyu’anil-mun’kar). Melarang kemungkaran adalah wajib untuk kita.

Bagaimanapun, yang patut bersara bukannya ahli politik disebut menteri ini, tetapi beliau sendiri kerana bacul menegakkan kebenaran, dan bersubahat bersama pihak yang menindas. Yang jelas, kenyataan itu mengesahkan beliau adalah seorang menteri yang mati hati nuraninya.

Tambahan pula, prestasinya sebagai menteri juga amat mengecewakan. Beliau tidak pun beraksi cemerlang sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolionya dan rakyat Malaysia.

Mari kita lihat prestasi belia dan sukan negara ini.

Pengangguran belia naik berbanding 2013. Peratusan terkini belia di negara kita yang menganggur adalah 10.5%, di mana ia lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand (3.4%) dan Vietnam (6.3%). Lebih suku juta belia negara masih tidak mampu mencari pekerjaan, dan majoriti adalah Bumiputera.

Malah, yang dapat kerja pun gaji begitu kecil sekali. Gaji permulaan graduan diploma tahun lepas tak sampai RM1,300, dan permulaan graduan ijazah pula lebih kurang RM2,200. Sejak 2013, ia tak naik pun walaupun satu peratus.  

Bagaimana pula prestasi sukan negara? Lihat sahaja prestasi bola sepak, di mana menteri muda ini pernah menjadi timbalan presiden FAM pada 2007 ketika berumur 31 tahun. Mesti banyak pengalaman beliau sehingga dapat menjadi orang kuat FAM pada umur yang masih muda.

Akibatnya, sejak beliau menjadi menteri, prestasi bola sepak semakin merudum. Jika pada 2013 kita berada di tangga 154, terkini jatuh lagi pada tangga ke-167. Malah negara yang teruk dibom Amerika iaitu Afghanistan, dan negara amat miskin seperti Sudan juga mempunyai kedudukan lebih baik daripada kita.

Prestasi sebegini, jika di sektor swasta, sudah pasti dibuang kerja!

Kejayaan yang konon dikecapi menteri muda ini lebih condong kepada kejayaan peribadi, itu pun jika kita semak, ia dikecapi kerana kedudukannya sebagai menantu ataupun kedudukannya sebagai menteri.

Mendapat pangkat tinggi di dalam askar simpanan? Orang lain harus bertungkus lumus dari usia muda dan naik perlahan-lahan dengan sistem pangkat sedia ada, namun beliau mendapat pangkat dalam masa beberapa bulan sahaja datang berlatih. Para pengikutnya juga berbangga dengan kejayaan peribadi superfisial yang boss mereka kecapi.

Mendapat tempat untuk beraksi di dalam temasya sukan yang besar? Sudah tentu kerana dengan pangkatnya sebagai menteri. Orang lain sudah berlatih dan bermain sejak di usia muda namun tempat mereka diisi pula oleh seorang menteri yang ingin mengejar kejayaan peribadi dan gila populariti.

Padahal, menteri muda ini bukan hanya tidak berkelayakan mahupun tidak beraksi dengan cemerlang, malah beliau sering membuat kenyataan tanpa fakta. Berapa bulan lalu, menteri beliau pernah berkata orang Melayu “perlu melihat sistem kuota sebagai “penghinaan”. Beliau juga dipetik berkata harapannya adalah di masa hadapan budak Melayu boleh masuk universiti tanpa kuota.

Kenyataan beliau sebagai anak bangsawan yang lulusan universiti terkemuka dunia ini amat jengkel dan menggelikan.

Pertama, sistem kuota sudah dinyahkan sejak 2003. Takkan ini pun beliau tidak tahu?

Kedua, orang Melayu macam mana yang dihina? Yang kaya? Menang tanpa bertanding? Mendapat bantuan bapa mertua? Didapati bersalah rasuah oleh parti politik beliau sendiri, tetapi tetap dibenarkan bertanding merebut jawatan?

Orang yang sepanjang karier politiknya dibantu dalam pelbagai hal seperti mendapat jawatan timbalan ketua Pemuda, pertama kali menjadi wakil rakyat, kemudian menjadi timbalan presiden badan sukan, seterusnya menjadi ketua Pemuda dengan bantuan bapa mertua, orang ini ingin berbicara mengenai penghapusan kuota?

Usahlah fikir diri itu gah dan megah dengan karier politik yang hanya berlandaskan sistem kuota paling tidak adil, iaitu sekadar mengisi jawatan sebagai menantu.

Ketiga, orang Melayu berasa hina bukan kerana sistem kuota tetapi apabila maruah negara yang kita cintai seolah diconteng arang. Negara dijadikan bahan ejekan serata dunia.

Melayu dihina apabila pemerintah boros berbelanja di kala rakyat menderita. Segelintir mereka dan keluarga bersenang-lenang dengan kekayaan melimpah-ruah dan gaya hidup yang tidak keterlaluan dikatakan lucah dan tidak setimpal dengan pendapatan bulanan mereka.

Jauh sekali dari dihukum di muka pengadilan, mereka yang makan suap dengan jumlah jutaan dan bilion ringgit malah disucikan oleh pengikut mereka seperti menteri muda ini persis para nabi yang maksum.

Apa yang terjadi kepada integriti dan akidah mereka?

Yang jelas, yang patut berundur daripada politik negara bukannya ahli politik pembangkang seperti diminta menteri muda ini, tetapi yang patut berundur dengan segera adalah beliau sendiri! Lebih baik beliau mengundur segera supaya dapat berlatih lebih keras agar dapat beraksi cemerlang dalam skuad polo untuk Sukan SEA bulan depan. – 15 Julai, 2017.

* Mahyudin Jelani adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen