AHLI perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kini menggunakan pasport negara lain selepas pihak berkuasa Malaysia membatalkan pasportnya tiga minggu lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Mustafar Ali.
“Mungkin sekarang dia menggunakan pasport (negara lain yang dia ada),” katanya, seperti dipetik Bernama.
Jabatan Imigresen Malaysia pada 15 Jun lalu membatalkan pasport Jho Low, yang diburu pihak berkuasa berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mustafar bagaimanapun enggan mengesahkan atau memaklumkan pasport negara manakah yang mungkin digunakan oleh ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu.
“Saya tidak tahu,” katanya.
Media tahun lalu melaporkan Jho Low dipercayai memiliki pasport St Kitts & Nevis, negara pulau di Kepulauan Caribbean yang juga sebahagian daripada Komanwel.
Jabatan Pendaftaran Negara ketika itu dilaporkan akan menyiasat status kerakyatan Jho Low kerana dipercayai memegang pasport lain selain Malaysia.
Kewujudan pasport kedua Jho Low itu terdedah selepas dokumen undang-undang yang difailkan Jabatan Keadilan (DoJ) di Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB menyatakan ahli perniagaan itu memiliki dua pasport, Malaysia dan St Kitts & Nevis.
Pasport Malaysia Jho Low dipercayai dibatalkan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran ahli perniagaan itu untuk bertemu dengan pasukan penyiasat Malaysia di Dubai.
Pada 13 Jun lalu, The Malaysian Insight melaporkan Jho Low sedia berjumpa dengan pasukan penyiasat Malaysia di Dubai untuk membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.
Sehari selepas itu, Dr Mahathir memberitahu Wall Street Journal, Jho Low ada berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia dan meminta jaminan imuniti untuk beliau membantu siasatan.
Permintaan Jho Low itu ditolak.
Minggu lalu, Shukri mengulangi ketegasan SPRM kepada Jho Low – pulang ke tanah air kerana pihak berkuasa tidak akan melayan karenahnya.
“SPRM tidak akan ke Dubai. Datanglah, pulanglah ke Malaysia, dia adalah rakyat Malaysia,” katanya. – 10 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MOHAMAD KADIR · Ulasan