LOW Taek Jho diarahkan untuk kembali ke Malaysia bagi memberi kerjasama terhadap siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull berkata ahli perniagaan itu sepatutnya kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan, bukannya penyiasat yang perlu ke Dubai – di mana Low dipercayai berada pada masa ini.
“Balik ke Malaysia. Tidak perlu kami ke sana (Dubai),” katanya kepada wartawan pada satu sidang media selepas majlis pelancaran buku hari ini.
Shukri berkata bukan pihak berkuasa Malaysia saja yang sedang mencari ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu, tetapi agensi luar negara juga sedang mencarinya.
“Bukan SPRM saja tetapi semua agensi sedang cari Jho Low. Jika anda ada maklumat, tolong beritahu kami sekarang,” katanya.
Minggu lalu, SPRM menyerbu pangsapuri mewah milik Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low di Kuala Lumpur.
Waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya untuk membantu siasatan 1MDB.
Peguam kepada jutawan itu sebelum ini dikatakan sudah menghubungi pegawai SPRM tetapi sehingga kini, tiada perkembangan lanjut dilaporkan. – 3 Julai, 2018.
Komen