Susulan kecaman anti LGBT, 'setiausaha akhbar' Syed Saddiq berundur


Low Han Shaun

Kecaman pelantikan setiausaha akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Numan Afifi kerana didakwa sebagai pejuang LGBT tercetus menyebabkan Numan berundur daripada jawatan itu dan mengesahkan tidak pernah dilantik secara rasmi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.

NUMAN Afifi, penganjur majlis berbuka puasa untuk golongan gay tahun lepas yang dikecam hebat mengumumkan beliau berundur daripada menjadi “setiausaha akhbar” kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman. 

Dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook hari ini, Numan berkata beliau hanya akan membantu Syed Saddiq sementara menunggu setiausaha akhbar baharu dilantik. 

“Kecaman dan ancaman yang hebat oleh agen propaganda pembangkang telah menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi, justeru saya mengambil keputusan untuk tidak bertugas secara rasmi di kementerian. 

“Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini,” katanya. 

Pengkritik sebelum ini menyelar pelantikan Numan, berkata tidak wajar beliau yang mereka dakwa “pejuang lesbian, gay, bisexual and transsexual (LGBT)” menjadi pegawai kerajaan. 

Kritikan itu mengundang serangan balas pelbagai pergerakan masyarakat sivil dan ahli politik yang kehidupan peribadi Numan tidak boleh dijadikan asas menentang pelantikannya, dan kerajaan Pakatan Harapan perlu berpegang teguh kepada janji perubahan dan penglibatan semua kelompok masyarakat. 

Catatan Numan di Facebook pagi ini menjelaskan yang beliau akan terus membantu Syed Saddiq yang dianggapnya sabahat sebagai setiausaha akhbar dan beliau tidak pernah dilantik secara rasmi ke dalam jawatan itu. 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara Syed Saddiq atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di kementerian.

“Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat untuk beliau,” katanya. 

Beliau menambah yang Syed Saddiq menerima keputusannya itu dan meminta isu itu tidak “dipanjang-panjangkan” lagi. 

“Saya rasa terharu dan sangat menghargai sokongan bertalu-talu oleh masyarakat, sahabat handai dan keluarga.

“Mudah-mudahan kita dapat hidup bermasyarakat di Malaysia yang meraikan kepelbagaian tanpa prejudis,” katanya lagi. – 9 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen