Red Granite yang disaman DoJ akan diuruskan pihak ketiga


Filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi bintang terkenal Hollywood Leonardo DiCaprio didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB. – Gambar AFP, 13 Julai, 2017.

PENERBIT veteran Douglas Hansen akan mengawal selia urusan kewangan Red Granite Pictures, yang terjerat dalam saman rampasan aset Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan 1MDB, lapor Bloomberg.

Red Granite Pictures ditubuhkan pengasas bersama Riza Aziz, anak lelaki tiri Perdana Menteri Najib Razak dan merupakan penerbit filem “The Wolf of Wall Street” yang dikeluarkan pada 2013.

Mei lalu, Bloomberg melaporkan yang Red Granite dalam perbincangan dengan DoJ untuk menyelesaikan saman berkaitan dakwaan filem itu dibiayai menggunakan dana yang dirompak daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

DoJ sudah memfailkan tiga saman sivil untuk merampas aset bernilai berbilion dolar yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dirompak daripada 1MDB. Antara barangan yang disenaraikan ialah barang kemas, sebuah kapal layar, lukisan dan hartanah mewah. Dalam saman terbaru, DoJ mendakwa yang AS$540 juta (RM2.31 bilion) digunakan untuk membeli antaranya, sebuah kapal layar bernilai AS$165 juta dan rantai berlian bernilai AS$27.3 juta untuk “isteri Malaysian Official 1” (MO1).

Dalam satu temubual dengan BBC, September lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan mengesahkan yang “MO1” ialah Najib.

DoJ mendakwa Red Granite menggunakan dana 1MDB untuk menerbitkan “The Wolf od Wall Street”, “Daddy’s Home” dan “Dumb and Dumber To”, dan akan merampas keuntungan filem tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif pengambil alihan aset kleptokrasi.

Red Granite memfailkan usul bulan lepas, memohon pelantikan fidusiari operasi bebas untuk terus beroperasi.

Hansen pernah menerbitkan antaranya filem “Snowden” dan “Looper” akan mengawal selia operasi dan pengurusan Red Granite selama 30 hari. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen