Panduan mengelak skim pelaburan penipuan


Zaidel Baharuddin

KECOH baru-baru ini dengan pelbagai bentuk skim jualan langsung, tukaran matawang asing (forex) dan skim perlaburan seperti MBI dan JJPTR.

Tidak kiralah pelaburan atau sebarang bentuk teknik perniagaan atau sistem jualan, walaupun nampak seolah-olah nyata sangat penipuannya itu, namun saban tahun beribu-ribu warga Malaysia terpedaya dengan hasutan dan pujukan golongan para penipu ini.

Ini kerana kaedah penipuan mereka ini semakin canggih mengikut peredaran teknologi dan pada masa yang sama mereka masih mengambil peluang dalam menyentuh kelemahan mangsa dengan menjanjikan kekayaan yang luar biasa ataupun dengan memperalatkan emosi para pelabur dengan menggunakan agama dan sebagainya.

Maka di sini saya menyenaraikan beberapa panduan mudah dan ringkas untuk mana-mana bakal pelabur rujuk sebelum membuat sebarang keputusan untuk meletakkan wang simpanan anda dalam sebarang bentuk perlaburan, skim perniagaan atau jualan langsung.

Bagaimana anda buat duit?

Dalam mana-mana perniagaan, tak kiralah apa nama sekalipun atau dari industri mana sekalipun dari menjual beras guni hinggalah ke transaksi perbankan atas talian merentas lautan, asas kepada semua perniagaan ini adalah keuntungan mesti dijana melalui penjualan produk atau penawaran perkhidmatan, atau dengan bahasa mudahnya, anda hanya boleh buat duit dengan jual barang atau tawar perkhidmatan.

Asasnya mana-mana skim perniagaan yang tidak melibatkan barang yang bertukar tangan atau tiada langsung perkhidmatan yang ditawarkan, itu adalah skim penipuan. Jadi dalam mana-mana skim perniagaan dan perlaburan anda harus tanya soalan asas ini, apakah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dan adakah pendapatan utama dari perlaburan saya datangnya dari produk atau perkhidmatan ini.

Sebagai contoh, sekiranya anda melibatkan diri dalam sistem jualan langsung, pendapatan utama anda harus datang dari menjual produk jualan langsung itu dan bukannya dari mengumpul mata bonus dengan memperkenalkan pelabur baru. Sekiranya anda melibatkan diri dalam skim tukaran matawang asing, maka matawang asing itu mesti bertukar tangan barulah keuntungan boleh diperoleh dengan menjual matawang anda dengan harga yang lebih tinggi. Selagi US Dollar, Pound atau Yen yang anda simpan atau labur itu tidak bertukar tangan, sebarang untung (atau kerugian) tidak wujud walau apa sekalipun nilai yang dipaparkan di atas graf.

Habis tu bagaimana dengan amanah saham?   

Anda mungkin akan soal, habis tu bagaimana dengan perlaburan seperi ASB, ASN, CIMB Wealth, Public Mutual dan lain-lain yang sewaktu dengannya? Mana ada pelabur sibuk-sibuk nak tahu apa produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan? Kalau itu persepsi anda, maka harus diperbetulkan pandangan itu kerana institusi perlaburan seperti yang dinyatakan tadi akan mengeluarkan senarai transaksi perniagaan dan perlaburan yang mereka buat (dengan duit anda) setiap tahun.

Dalam setiap ringgit yang diambil dari anda, ianya mestilah dilaburkan semula ke dalam syarikat-syarikat yang akhirnya menjalankan perniagaan yang melibatkan transasksi asas tadi seperti yakni penawaran produk atau perkhidmatan atau kedua-duanya sekali.

Sebagai contoh, Amanah Saham XYZ membeli saham dalam syarikat seperti Telekom Malaysia yang menawarkan perkhidmatan internet, AXIATA perkhidmatan telekomunikasi bimbit, SP Setia produk perumahan dan kilang ubat batuk cap kelapa laut Afrika yang menghasilkan produk kesihatan dan keuntungan dari perlaburan ini diberi kepada anda dalam bentuk dividen tahunan.

Sebab itu jarang kita dengar mana-mana amanah saham menawarkan bonus atau skim dividen kepada mana-mana pelabur lain yang berjaya memperkenalkan pelabur lain ke dalam amanah berkenaan kerana seharusnya, pendapatan utama anda dari mana-mana perlaburan ialah melalui dividen keuntungan.

Semak produk dan perkhidmatan

Namun, sekarang banyak juga skim penipuan yang menyorok di belakang transaksi produk atau perkhidmatan, kononnya anda membuat duit dengan menjual produk atau menawarkan perkhidmatan tertentu.

Nasihat saya semaklah betul-betul sebarang tuntutan yang dibuat oleh mana-mana syarikat terhadap produk dan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, sekiranya mereka mengatakan bahawa mereka ini menjalankan perdagangan matawang asing, semak lesen mereka di Bank Negara dan minta mereka paparkan sijil atau nombor lesen mereka.

Zaman ini juga banyak syarikat-syarikat yang menjual produk yang berasaskan ‘pseudo science’ yakni penipuan tanpa sebarang asas sains seperti air kesihatan yang mempunyai tambahan hidrogen atau oksigen, skim aromaterapi/krim/ubat yang boleh menyembuhkan segala peyakit dari kurap di kulit hinggalah ke kanser dan barah otak.

Sekiranya anda berhadapan dengan perakuan yang sebegini hebat, tuntut untuk pihak syarikat untuk mengemukakan sebarang kertas kerja atau kertas penyelidikan saintifik sebagai rujukan kepada sebarang pengakuan keatas produk mereka dan pastikan laporan atau kajian saintifik itu datangnya dari universiti atau badan berkanun yang diiktiraf dan bukannya dari mana-mana universiti online yang tidak mempunyai bangunan kampus.

Menunggang agama dan emosi

Banyak skim penipuan ini akan mengambil peluang dengan mengeksploitasikan emosi mangsa mereka dan serigkali agama digunakan sebagai alat untuk mempengaruhi mangsa mereka. Dengan menggunakan nama-nama Arab dan berperwatakan warak diselang seli dengan gambar atau sisipan perkataan Arab setiap kali berbicara, mereka membawa imej bahawa takkanlah syeikh, ustaz atau orang alim ini tergamak dalam menipu orang dalam skim umrah dan haji?

Ingat yang dalam Islam, asas kepada perniagaan itu adalah mudah, yakni adanya akad, jangan menipu dan sebarang keuntungan yang dibuat haruslah diberikan zakat kepada orang-orang yang memerlukan. Sekiranya anda hendak beribadah, maka berikanlah lebihan keuntungan anda sebagai derma, kalau ikhlas derma anda itu maka pahala itulah ganjaran anda. Tidak ada sebarang skim atau kaedah Islami yang istimewa dalam perniagaan, dan seringkali agama digunakan untuk mengelirukan anda dari perkara asas dalam sebarang transaksi perniagaan itu.

Sebagai contoh sekiranya mana-mana jurujual yang mengatakan yang anda harus membeli alat solek ini kerana ianya mesra air sembahyang atau kismis yang telah dibacakan doanya, tolak ketepi perkara-perkara itu dan tanya kepada soalan asas, yakni adakah alat solek ini selamat untuk digunakan dan adakah ianya membuatkan pengguna itu cantik?

Atau adakah kismis ini segar dan sedap untuk dimakan? Usahlah anda sakit kepala memikirkan bila masa pulak ada orang bacakan doa pada kismis ini dan doa apakah yang dibacakan ke atas kismis itu. Nak kismis doa sangat, bacalah doa makan sebelum makan kismis itu.

Apa-apa pun, ingatlah dalam melaburkan wang simpanan anda ke dalam mana-mana sekalipun, kita haruslah kembali kepada perkara asas yakni apakah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dan adakah ianya mempunyai permintaan.

Seringkali dalam kita membuat keputusan sebagai manusia, kita akan terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan yang melibatkan emosi, tak kiralah samaada ianya melibatkan agama atau sifat tamak kita yang melihat jurujual itu bergambar dengan kereta buatan Jerman.

Namun harus kita fahami dan akui bahawa risiko itu tetap ada, hatta kalau melabur dalam perniagaan yang halal dan diakui Bank Negara sekalipun, kita masih tetap terdedah dengan risiko kerugian. Tidak wujud sebarang bentuk perniagaan yang tidak mempunyai risiko untuk rugi, bezanya dalam kita mengikut panduan yang mudah ini, risiko perlaburan itu dapatlah kita kurangkan, itu sahaja. Selamat melabur! – 13 Julai, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen