Menang sokongan Cina kemuncak karier saya, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun Sheridan Mahavera

Dr Mahathir akui sokongan pengundi Cina kuat pada PRU14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2018

MENDAPAT sokongan tidak berbelah bahagi daripada masyarakat Cina merupakan perkara yang paling memuaskan dalam kerjaya politik, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

“Ketika saya menjadi perdana menteri pada 1981, saya bimbang akan ditentang oleh masyarakat Cina,” kata Dr Mahathir kepada Al Jazeera. 

“Namun akhirnya, orang Cina yang paling kuat menyokong saya dan saya menang dua pertiga majoriti (di Dewan Rakyat) kerana sokongan mereka,” katanya. 

Dr Mahathir, 92 sebelum ini pernah dilabel sebagai nasionalis Melayu ketika awal kerjayanya dalam Umno, memperjuangkan hak Melayu. Bukunya, “The Malay Dilemma” yang diterbitkan pada 1970, turut menyumbang kepada reputasinya sebagai seorang yang rasis. 

Namun beliau berjaya memenangi dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat menerusi kesemua lima pilihan raya umum sepanjang kariernya sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003. 

Beliau juga berjaya mendapat sokongan Cina pada pilihan raya umum 1999, yang dijalankan ketika gerakan reformasi selepas beliau memecat timbalannya Anwar Ibrahim. 

“Pada saya, ia memberikan kepuasan kerana ia bermakna dakwaan saya anti Cina adalah tidak benar, kerana akhirnya mereka yang menyokong saya, jadi saya fikir saya berpuas hari.”

Dr Mahathir memberitahu Al Jazeera beliau tidak kisah tentang kritikan awam terhadapnya dan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Kumpulan masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang ketka itu mengkritik Dr Mahathir kerana menekan kebebasan sivil dan menyemai kapitalisma kroni. 

Ada di antara pengkritik itu kini merupakan sebahagian daripada kabinet Dr Mahathir. 

“Saya tahu ada orang yang mengutuk semua yang saya lakukan dan orang yang menghargai apa yang saya lakukan. 

“Pada saya ia tidak relevan, saya buat apa yang termampu dan saya berpuas hati kerana saya berikan yang terbaik untuk negara, itu sahaja. 

“Dan kini saya berada dalam jawatan sama untuk perbetulkan keadaan, dan jika saya tidak rasa ia sebagai tindakan mementingkan diri, jika saya masih mampu saya akan sumbangkan apa sahaja untuk memulihkan negara ini.”

Pada 2013, Najib Razak menyalahkan pengundi Cina kerana mendakwa pengundi tersebut tidak menyokong BN sehingga hilang majoriti dua pertiga dan hanya dapat menguasai 133 kerusi Parlimen.

Dakwaan itu bagaimanapun ditolak oleh penganalisis yang melihat penolakan terhadap Najib itu ditunjukkan pengundi bandar dan juga pengundi muda.

Pembangkang juga waktu itu menganggap Najib cuba mengapi-apikan semangat perkauman kerana membuat kenyataan mensasarkan pengundi Cina. – 7 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pengalaman tun m sebagai PM sebelum ini telah membuatkan seluruh rakyat malaysia yakin dengan kepimpinan kerajaan baru ini dan juga semua kaum yg ada dalam negara kita..sekarang Tun M hanya lakukan yg terbaik utk negara bg memastikan pilihan yg dibuat oleh rakyat adalah tepat..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan