Kementerian nilai semula AP bahan makanan, banteras penyelewengan


Zulkifli Sulong

Data kementerian menunjukkan, terdapat sejumlah 297 syarikat memegang AP untuk mengimport bahan makanan pada masa ini. – Gambar AFP, 6 Julai, 2018.

NASIB pemegang permit import (AP) barangan makanan kini bergantung kepada kajian dan penilaian kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahudin Ayub berkata, pihaknya menilai semula perkara itu ekoran dakwaan penyalahgunaan dan pemberian AP atas kepentingan dan hubungan politik.

“Kita sedang menilai kembali permit import ini tentang keperluan dan ketirisan akibat darinya,” kata Salahudin kepada The Malaysian Insight.

Data kementerian menunjukkan, terdapat sejumlah 297 syarikat memegang AP untuk mengimport bahan makanan pada masa ini.

Paling ramai, 176 syarikat memegang AP untuk mengimport kubis bulat, dan selebihnya terdiri daripada pengimport keratan ayam (57), susu cair (35) dan kelapa tua (29).

Menurut Salahuddin, kajian ke atas pemberian AP itu merupakan antara satu fokus utama kementeriannya dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, ia bagi menjamin keselamatan makanan selain meminimumkan masalah birokrasi dalam pengeluaran. 

Ini memandangkan, pada masa ini stok makanan di Malaysia hanya boleh bertahan paling lama untuk tempoh tiga bulan andainya import beras terhenti atau berlaku bencana atau perang, tambahnya.

“Antara fokus saya dari segi implimentasi adalah untuk memastikan sektor padi dan beras negara dapat diperbaharui secara drastik untuk (memastikan) bekalan tempatan lebih efisien selain memastikan bekalan daging tempatan sampai pada tahap 30% pengeluaran,” katanya.

Menurut beliau, permit import dari kementeriannya itu melibatkan sekurang-kurangnya lima jenis bahan makanan termasuk daging, kobis dan bawang.

“Sebab itu kita sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan termasuk melalui projek NFC (National Feedlot Corporation) yang kita akan hidupkan kembali,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahudin Ayub berkata kajian ke atas pemberian AP itu merupakan antara satu fokus utama kementeriannya dalam tempoh tiga tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

Projek NFC menjadi isu besar apabila Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan keluarga bekas menteri Shahrizat Jalil mendapat pinjaman mudah kerajaan untuk menjalankan projek ini sejak 2007.

Namun, pinjaman itu lesap sedangkan projek ternakan lembu secara fidlot yang dijalankan oleh keluarga bekas menteri pembangunan dan keluarga ini tidak berjalan dengan sewajarnya.

Akibatnya, Shahrizat terpaksa meletak jawatan sebagai menteri dan ahli keluarganya turut didakwa di mahkamah.

Suaminya yang juga pengerusi eksekutif syarikat penternak tersebut bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan daripada segala pertuduhan jenayah pada 2015.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai menteri bulan lalu, Salahudin mengumumkan bahawa tumpuan awal beliau adalah mahu menghidupkan balik usaha penternakan lembu secara fidlot.

Katanya, satu kertas kerja akan dikemukakan untuk menyemak semula projek NFC untuk memenuhi keperluan daging negara.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, usaha tersebut akan membolehkan Johor muncul sebagai pengeluar lembu daging terbesar negara melalui projek ternakan di Muar, Segamat dan Pagoh. – 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen