Lengah keputusan 4 tahun, DAP ada alasan saman RoS


Looi Sue-Chern

PENANGGUHAN empat tahun keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk membatalkan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP menjadi alasan untuk tuntutan saman, kata pakar undang-undang perlembagaan.

Dr Gurdial Singh Nijar selama ini DAP dibenarkan untuk berfungsi; dan hanya semalam RoS mengumumkan keputusannya.

Bekas profesor undang-undang Universiti Malaya itu berkata tempoh terlalu lewat RoS sehingga empat tahun untuk membuat keputusan itu tidak menunjukkan niat baik, sebaliknya menjejaskan agensi itu.

Katanya, penangguhan itu sendiri memberikan alasan untuk DAP mencabar keputusan RoS.

Persoalan lain ialah sama ada keputusan dibuat kepimpinan parti itu selama tempoh empat tahun ini kekal sah atau tidak.

Bagaimanapun, Gurdial berkata jika berdasarkan kepada doktrin penolakan prospektif, keputusan dibuat kepimpinan parti dari hari pemilihan CEC hingga semalam sepatutnya sah, tetapi tidak selepas itu.

“DAP diletakkan dalam keadaan tertanya-tanya dengan kini RoS berkata CEC tidak sah. Mereka (CEC DAP) sepatutnya sah sehingga mereka diisytiharkan tidak sah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

CEC memanggil mesyuarat tergempar di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur petang ini untuk membincangkan isu RoS.

Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah berkata CEC yang dipilih pada 29 September, 2013 tidak sah.

Pemilihan itu diadakan semula susulan pemilihan parti pada Disember 2012 berlaku kesilapan teknikal ketika kiraan undi.

Keadilan RoS dipersoalkan

Kebebasan dan keadilan RoS selalu dipersoalkan kerana ia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mungkin akan berlaku konflik kepentingan, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.

“RoS mengendalikan permohonan pendaftaran parti baharu, tidak pernah konsisten dan saksama. Ada yang diuruskan dengan cepat sementara ada tertangguh; sering berurusan dengan kepentingan strategik Barisan Nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong berkata DAP akan mendapat lebih simpati kerana arahan mengadakan pemilihan baharu bagi CEC parti itu nampak seperti ia gangguan yang disengajakan.

Timbalah Setiausaha Agung DAP Dr P. Ramasamy berkata arahan RoS itu yang dikeluarkan sekarang sengaja dibuat untuk menyukarkan parti dan mengganggu persediaan parti dalam menghadapi PRU.

“Ia tidak demokratik dan tidak adil. RoS membiarkan kami terumbang-ambing sejak ia tidak mengiktiraf keputusan pemilihan semula CEC pada 2013,” katanya.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata keputusan berkenaan dibuat ketika Perdana Menteri Najib Razak teruk dikritik dalam skandal 1MDB.

Bagaimanapun, beliau percaya perkara itu tidak akan menjejaskan PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia – rakan DA dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketika menjelang PRU13, apabila calon DAP berdepan kemungkinan tidak dibenarkan bertanding menggunakan logo roket parti, PKR dan bekas sekutu PAS menawarkan calon DAP berlawan di bawah tiket parti mereka. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen