Najib ditangkap selepas disoal siasat, berbilion wang tunai, barang berharga dirampas


Julia Yeow

Najib Razak disoal siasat sebanyak tiga kali - sekali pada Disember 2015 dan dua kali pada Mei tahun ini - berhubung peranannya dalam  SRC International.

PENANGKAPAN Najib Razak hari ini dibuat selepas lebih daripada lima minggu sejak beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan yang diterajui Pasukan Petugas Khas 1MDB juga telah membawa kepada pembekuan 400 akaun bank bernilai RM1.1 bilion serta rampasan jutaan wang tunai dan barangan berharga dari premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

SPRM juga telah merekod kenyataan dari Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak tirinya Riza Aziz.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi pula disoal siasat hari ini dan semalam.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Najib akan didakwa dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Siasatan terhadap 1MDB dibuka sebaik sahaja PH menang dalam pilihan raya pada 9 Mei lalu.

Najib disoal siasat sebanyak tiga kali - sekali pada Disember 2015 dan dua kali pada Mei tahun ini -  berhubunng peranannya dalam  SRC International.

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012, semasa Najib menjadi perdana menteri dan juga menteri kewangan.

Dipercayai bahawa RM42 juta dari SRC International disalur ke dalam akaun Najib antara pertengahan 2014 dan Januari 2015.

Menurut laporan, wang itu disalur dari SRC International ke dalam beberapa perantara kewangan milik proksi perniagaan yang rapat dengan Najib sebelum didakwa dimasuk ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun, Najib telah menafikan semua salah laku yang dituduh terhadapnya.

Pada bulan lepas, Najib mendapatkan khidmat sepasukan peguam kanan Amerika Syarikat (AS), termasuk bekas Peguam Negara John Ashcroft dan peguam bicara terkenal David Boeis, petunjuk jelas bahawa beliau akan didakwa atas kehilangan berbilion wang 1MDB.

Beberapa negara termasuk AS, Singapura dan Switzerland juga menyiasat skandal dana negara itu. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen