Najib upah bekas peguam negara Amerika hadapi siasatan 1MDB


The Malaysian Insight

Najib Razak kini hilang imuniti yang menyelamatnya daripada segala tuduhan jenayah yang sedang disiasat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2018.

NAJIB Razak menggunakan khidmat sepasukan peguam kanan Amerika Syarikat, termasuk bekas Peguam Negara John Ashcroft dan peguam bicara terkenal David Boeis, dalam menghadapi siasatan antarabangsa terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang boleh memerangkap beliau dan keluarganya.

Biarpun Jabatan Keadilan Amerika (DoJ) sudah memulakan penyiasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana syarikat milik negara itu beberapa tahun dan merujuk beliau sebagai MO1, Najib setakat ini terlindung daripada pendakwaan jenayah atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Siasatan DoJ itu menggemparkan dan beberapa kali jadi tajuk berita besar, namun Najib bersikap acuh tak acuh, malah sempat membuat lawatan ke White House pada September tahun lalu, yang mendapat liputan meluas.

Bagaimanapun semuanya berubah dengan mendadak sejak 9 Mei lepas.

Najib bukan lagi ketua kerajaan, dan oleh itu, tidak lagi mendapat perlindungan penuh daripada tindakan undang-undang.

Lagi pula, kesungguhan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad cuba mengaitkan Najib dengan skandal 1MDB dan bekerjasama dengan penyiasat Amerika, menjadikan bekas perdana menteri itu dan isteri, Rosmah Mansor, sasaran utama di negara itu.

Sebelum ini, fokus siasatan DoJ bertumpu pada anak tiri Najib, Reza Aziz dan ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Tetapi tanpa imuniti sebagai perdana menteri dan ketika siasatan di Malaysia menjurus pada beliau dan isterinya, Najib mula mengambil khidmat peguam kanan di Amerika.

Ashcroft merupakan peguam negara ketika George W Bush jadi presiden dan mengetuai DoJ sepanjang tempoh getir selepas serangan pengganas 11 September.

Selepas mandat presiden Bush berakhir, beliau mendirikan kumpulan lobi berpengaruh The Ashcroft Group dan firma guaman, The Ashcroft Law Firm.

Semakan The Malaysian Insight menunjukkan firma guaman itu mendaftarkan Najib sebagai anak guamnya mengikut Akta Pendaftaran Agen Asing pada September tahun lalu.

Beliau disenaraikan sebagai perdana menteri Malaysia dan dimasukkan dalam kategori yang dibiayai oleh kerajaan atau parti politik luar negara dan lain-lain prinsipal asing.

Tidak jelas apakan khidmat itu bagi kerja-kerja atau guaman kerana akta berkenaan lazimnya meliputi kerja-kerja lobi di Amerika.

The Malaysian Insight difahamkan beberapa hari lalu, Najib mengambil khidmat Ashcroft sebagai peguamnya. Beliau juga mengupah David Boies, seorang peguam bicara terkenal di Amerika.

Boies mewakili kerajaan Amerika dalam kes anti monopoli terhadap syarikat gergasi teknologi maklumat Microsoft dan tokoh kewangan yang didakwa, termasuk Hank Greenberg daripada AIG dan Andy Fastow dari Enron.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang pasukan peguam kanan itu turut disertai Matthew Schwartz. Beliau pernah selama 10 tahun menjadi pendakwaraya di New York dan mengendalikan kes yang menonjol termasuk penyiasatan ke atas dalang skim Ponzi, Bernie Madoff.

Pada 2013, beliau dinamakan sebagai pendakwaraya terbaik oleh Yayasan Penguatkuasaan Undang-Undang Persekutuan. Scwartz kini seorang peguam.

Semua peguam ini dijangka berkunjung ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Minta ampun kan lebih senang?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan