‘1MDB Kelantan’ perlu dikenakan tindakan tegas, kata Husam


Amin Iskandar

Adun Salor Husam Musa berkata cara kerajaan negeri Kelantan memeterai perjanjian dengan syarikat Climate Protectors Sdn Bhd seperti "1MDB cara Kelantan". – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Julai, 2017.

ADUN Salor Husam Musa menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan tetapi memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan melibatkan 1 juta ekar tanah hutan simpan, sesuatu disifatkannya sebagai “1MDB cara Kelantan”.

Naib presiden Amanah itu turut mempersoalkan kelayakan syarikat Climate Protectors Sdn Bhd sehingga diberikan kelulusan menguruskan tanah seluas “25% ” walaupun syarikat itu tidak diberikan kelulusan BNM untuk beroperasi.

“Saya menyeru BNM, janganlah sekadar mengeluarkan amaran tetapi tindakan proaktif terhadap semua skim seperti ini bagi mengelakkan orang awam tertipu. Mereka sudah melabur, kebanyakannya orang Melayu sejak Zaman Pak Man Telo lagi.

“Hangus wang berpuluh bilion kerana tidak dipandu pelaburan betul dan mereka cari jalan mudah untuk dapat kekayaan dan pelbagai pihak mengambil kesempatan.

“Kerajaan negeri pun kadangkala terperdaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 26 Jun, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengumumkan projek perniagaan karbon bertaraf dunia diluluskan kepada Climate Protectors Sdn Bhd walaupun BNM menamakan syarikat itu dalam senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir BNM.

Climate Protectors memeterai perjanjian dengan Kelantan pada 9 Januari, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Climate Protector dilaporkan sebagai “syarikat kredit karbon” pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya ialah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)”.

Bagaimanapun, lima bulan lalu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mekanisme ini berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran,” kata Wan Junaidi seperti dilaporkan media.

Wan Junaidi turut meminta semua kerajaan negeri mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD dari Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.

Pada sidang media hari ini Husam mempersoalkan mengapa menteri besar Kelantan itu tidak mengambil berat kenyataan BNM yang dikeluarkan tiga hari sebelum projek diumumkan.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada langkah Climate Protectors yang beralamat di Berek 12, Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta ekar tanah hutan simpan Kelantan itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token dipersetujui kerajaan negeri?

“Apakah syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan kerajaan negeri,” soal Husam yang juga bekas exco Kelantan.

Husam turut mempersoalkan kaitan antara kerajaan Kelantan, Climate Protectors dan Ecobit yang turut disenaraikan BNM sebagai beroperasi tanpa kelulusan.

Katanya, laman sesawang www.ecobit.io jelas menyandarkan aktiviti mereka kepada perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dan Climate Protectors pada 9 Januari.

“CEO Climate Protectors dan EcoBit Tang Too Siah digambarkan sebagai pemain utama EcoBit dalam laman sesawang EcoBit.

“Saya harap Mr Tang masih ada di dalam Malaysia dan tidak mengikut jejak langkah Jho Low yang menghilangkan diri. Dan saya berharap ini tidak menjadi satu cerita Jho Low versi Kelantan. Dan versi 1MDB cara Kelantan,” katanya.

Husam berkata beliau bimbang jika perjanjian di antara Kelantan dan Climate Protectors tidak boleh dibatalkan.

“Skim carbon trading ini mungkin boleh menyebabkan kerajaan Kelantan sangkut. Skandal yang menggerunkan. Kalau 1 juta ekar tak boleh dibatalkan bermakna kita sudah menjejaskan 25% daripada bumi Kelantan.

“Suku daripada Kelantan senang-senang saja diberi. Ini lebih dahsyat daripada penjajahan Inggeris,” katanya. – 4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen