Berbelas orang disingkirkan dalam 50 hari pertama pentadbiran Pakatan


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan cuba melunaskan janji manifestonya dalam tempoh 100 hari mengambil alih pentadbiran negara selepas menang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2018.

DALAM tempoh 50 hari mengambil alih kuasa, lebih sedozen ketua institusi, agensi dan syarikat utama kerajaan disingkirkan ketika pentadbiran baharu mahukan permulaan yang bersih daripada pentadbiran silam.

Ramai lagi yang akan disingkirkan kerana difahamkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menetapkan sehingga 16 September untuk menyingkirkan individu yang dianggap setia kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang tewas pada PRU14.

Tetapi pemimpin kanan PH, Lim Kit Siang juga memberi amaran jangan sampai tindakan itu dilihat sebagai membalas dendam kerana ada antara mereka yang berkhidmat dalam pentadbiran terdahulu, turut menjadi mangsa.

Kebanyakan ketua agensi dan syarikat berkenaan secara sukarela melepaskan jawatan mereka. Ada juga keluar selepas kontrak mereka tamat.

Sejumlah yang lain diberikan arahan berhenti selepas PH mengambil alih Putrajaya pada PRU14. Mereka ialah peguam negara Mohamed Apandi Ali, ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan CEO kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) Arul Kanda Kandasamy.

Antara yang akan tamat perkhidmatan tidak lama lagi ialah Ketua Hakim Negara Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin yang tempoh lanjutan perkhidmatan mereka jadi kontroversi tahun lalu.

Dua hakim berkenaan juga menyatakan mereka akan meletak jawatan berkuat kuasa pada 31 Julai.

Sebahagian daripada 13 personaliti syarikat berkenaan yang diketahui meletak jawatan setakat ini secara terbuka berkempen untuk BN menjelang PRU14 lalu.

Mereka terbabit dalam video muzik “Hebatnya Negaraku” yang juga sebahagian daripada kempen PRU14 BN.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd Mohammed Shazalli Ramly, CEO Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Mohd Badlisham Ghazali, CEO Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Tabung Haji Johan Abdullah.

Empat individu itu sama ada meletak jawatan atau kontrak tidak dilanjutkan.

Antara nama besar dalam video muzik itu yang masih berkhidmat di syarikat masing-masing ialah CEO CIMB Group Holdings Berhad Zafrul Aziz, Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad Amrin Awaluddin dan CEO Kumpulan Perbankan RHB Khairussaleh Ramli.

Turut serta dalam video muzik itu ialah CEO Bank Islam Malaysia Berhad Khairul Kamarudin, CEO UEM Group Berhad Izzaddin Idris dan CEO Malaysia Airlines Berhad Kapten Izham Ismail.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali semalam berkata pentadbiran PH mahu memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diketuai oleh individu yang berintegriti tinggi dan pakar.

“Semua eksekutif dalam GLC mesti terdiri daripada mereka yang boleh berkhidmat dengan cekap, bukan hanya kerana habuan politik,” kata Azmin.

“Perkara ini sudah berulang kali ditekankan oleh perdana menteri. Eksekutif berkhidmat berdasarkan kepada kepakaran mereka, bukan kerana elaun yang terlampau tinggi.

“Ini perlu dihentikan,” kata Azmin, merujuk kepada amalan yang diamalkan oleh pentadbiran BN iaitu melantik penyokong setia gabungan itu diserapkan ke dalam GLC. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kerajaan menambah baik perkhidmatan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan dengan pelbagai pembaharuan dibuat termasuk pemecatan beberapa individu. Ia bagi memastikan urus tadbir dan kecekapan agensi tersebut dapat dipertingkatkan.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan