Jawatan GLC bukan habuan politik, kata Azmin Ali


Sheridan Mahavera

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata GLC akan diketuai oleh mereka yang berintegriti tinggi dan berkelayakan, bukannya diberi sebagai habuan politik seperti diamalkan kerajaan Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Julai, 2018.

KETUA syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dipilih dalam kalangan mereka yang berintegriti tinggi dan berpengetahuan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, menjelaskan tindakan Putrajaya terhadap entiti berkenaan baru-baru ini.

Katanya, komitmen itu selaras dengan kerajaan baharu yang tidak mahu lagi mengamalkan memberi jawatan di GLC kepada individu tertentu sebagai habuan politik.

“Semua eksekutif dalam GLC mestilah mereka yang boleh bekerja dengan cekap, bukan kerana habuan politik,” kata Azmin kepada wartawan selepas menghadiri program Bank Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

“Perkara ini sudah berulang kali ditekankan oleh perdana menteri. Eksekutif berkhidmat berdasarkan kepada kepakaran mereka, bukan kerana elaun yang terlampau tinggi.

“Ini perlu dihentikan,” kata Azmin, merujuk kepada amalan yang diamalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional iaitu melantik penyokong setia gabungan itu ke dalam GCL.

Azmin berkata beliau, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Majlis Penasihat akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti individu yang akan menggantikan ketua-ketua GLC.

“Kami akan mengenal pasti personaliti yang mempunyai integriti tertinggi, pengetahuan dan kelayakan untuk mengetuai entiti ini.

“Kami mahu semua GLC menepati standard tertinggi tadbir urus dan amalan terbaik,” katanya.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan kerajaan baharu Pakatan Harapan membersihkan GLC daripada lantikan politik.

Sesetengah yang dilantik itu adalah ahli politik BN yang setiap kepada bekas perdana menteri Najib Razak sementara yang lain secara terbuka berkempen untuk gabungan itu pada PRU14.

Menjelang hari mengundi pada 9 Mei, seramai 53 ketua GLC memuji BN dalam satu video muzik yang juga sebahagian kempen “Hebatkan Negaraku”.

Sesetengah ketua GLC secara sukarela meletak jawatan sementara yang lain tidak diperbaharui kontrak.

Difahamkan “kerja pembersihan” itu akan dilakukan sehingga Hari Malaysia, 16 September. – 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen