Ringgit semakin lemah, kata Rafizi


Low Han Shaun

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ringgit berada pada paras paling rendah daripada Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan berbanding sebelum Najib Razak dilantik sebagai menteri kewangan pada 2007. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2017.

RINGGIT kini berada dalam keadaan terburuk berbanding mata wang Asia lain dan tidak sekukuh seperti dilaporkan baru-baru ini, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini.

Beliau berkata ringgit berada pada paras paling rendah daripada Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan berbanding sebelum Najib Razak dilantik sebagai menteri kewangan pada 2007.

“Selain Indonesia dan Vietnam, ringgit lebih buruk berbanding mata wang Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan. Sejak 2008, ringgit turun 27.7% manakala mata wang lain meningkat 6.8%,” kata Rafizi dalam kenyataannya hari ini.

Berbanding Thailand, Rafizi berkata baht masih kukuh dan menolak dakwaan yang semua mata wang jatuh berbanding dolar AS.

“Lebih buruk lagi, nilai ringgit jatuh lebih cepat berbanding mata wang lain sejak berita wang 1MDB masuk ke dalam akaun peribadi Najib yang dilaporkan Wall Street Journal.”

“Kejatuhan nilai ringgit berbanding 2015 (sebelum berita 1MDB dilaporkan) adalah 12.3% yang merupakan mata wang tertinggi di kalangan mata wang Asia,” kata Rafizi.

Rafizi berkata skandal 1MDB menyebabkan ringgit lemah tidak seperti yang dilaporkan oleh portal berita minggu lalu, yang mendakwa ringgit kukuh.

“Laporan itu kemudian dijadikan alasan untuk mematahkan hujah pihak yang sering menimbulkan persoalan mengenai kejatuhan ringgit (termasuk saya), mengatakan dakwaan kami setakat ini tidak benar.

“Sebab itulah saya mengambil masa untuk mengumpul data mengenai ringgit dan mata wang lain sejak 2007 hingga Mei 2017,” katanya. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen