Tuntutan hidup, sibuk kerja, ibu bapa tiada masa pantau anak   


Nabihah Hamid

Pakar psikiatri Dr Mariani Md Nor berkata pelajar kekurangan kasih sayang keluarga cenderung terjerumus dalam kegiatan negatif termasuk buli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2017.

KETIKA ibu bapa bergelut mencari rezeki memenuhi tuntutan hidup, mereka sebenarnya terlepas pandang dalam memberikan perhatian sewajarnya kepada anak yang kian membesar.

Pakar psikologi Dr Mariani Mohamad Nor tidak menolak pelajar yang kekurangan kasih sayang keluarga cenderung terjerumus dalam kegiatan negatif seperti gejala buli.

“Perkara ini berlaku disebabkan kehendak zaman moden di mana ibu bapa perlu keluarga bekerja kerana semua benda memerlukan wang ringgit.  Apabila kos sara hidup lebih tinggi, keperluan anak turut perlu ditanggung.

“Kalau dulu isteri suri rumah tetapi kini kebanyakannya keluar bekerja. Ia sedikit sebanyak membawa perubahan dan persekitaran. Ibu bapa bekerja seawal jam 7 pagi hingga 7 malam.

“Bila aspek fizikal dan kebersamaan ini hilang, anak berasa mereka kurang perhatian,” kata dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) itu.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu bijak mengatur masa bagi memantau kegiatan anak terutamanya yang meningkat remaja.

Jika gagal, mereka secara tidak langsung mendapatkan perhatian daripada lingkaran luar seperti rakan sebaya.

“Kalau perhatian luar lingkungan positif, maka positiflah ia tetapi kalau negatif maka ia akan mendatangkan masalah antaranya buli. Maka ibu bapa perlu manfaatkan hari cuti untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dua insiden buli baru-baru ini mengakibatkan kematian hingga mendorong ibu bapa mendesak kerajaan memperkenalkan modul pengajaran di sekolah yang boleh menangani masalah itu.

Pada 11 Jun, lima kadet Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) didakwa membunuh sementara seorang dituduh bersubahat menyebabkan rakan mereka Zulfarhan Osman.

Seminggu selepas itu, empat remaja didakwa membunuh T. Nhaveen, 18, di Pulau Pinang.

Kerjasama ibu bapa dan guru

Bersetuju dengannya, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) menggesa ibu bapa lebih prihatin terhadap kegiatan anak mereka. 

Noor Azimah Abdul Rahim berkata ibu bapa tidak harus melepaskan tanggungjawab pada sekolah dan perlu ada kerjasama bersama guru. 

“Saya rasa kita ibu bapa tidak boleh lepas tangan. Apabila anak di sekolah, kita kena sentiasa ambil perhatian dan jangan dibiar lepas kepada guru sahaja. 

“Perlu kerjasama antara guru dan sentiasa berinteraksi,” katanya yang mengakui ekonomi masa kini membebankan masyarakat. 

Faktor sosiobudaya

Sementara itu, Pakar Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rahimah Abdul Aziz berkongsi corak budaya individu yang cenderung melakukan buli. 

Katanya, ramai pembuli datang daripada keluarga yang kurang memberi perhatian, dan kasih sayang yang dipanggil keluarga “dysfunctional”. 

“Mereka (pembuli) mungkin pernah menyaksikan ibu bapa bertindak kasar terhadap satu sama lain, atau terhadap ahli keluarga yang lain atau terhadap orang lain. Mereka menganggap tindakan itu sebagai perkara biasa.”

Katanya, pembuli juga mempunyai perasaan ingin mendominasi dan berasa seronok jika dapat menguasai orang lain.

Cara tangani gejala negatif

Beliau berkata gejala buruk dapat dielakkan jika pihak berwajib memainkan peranan mengurangkan kos hidup yang menekan masyarakat. 

“Tentu sekali kos hidup akan meningkat bersesuaian dengan meningkatnya kualiti hidup. Hal ini tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, kadar inflasi dan peningkatan kos hidup itu perlu cekap dikawal pihak berwajib supaya tidak terlalu membebankan ahli masyarakat, terutama mereka yang berpendapatan sederhana rendah dan rendah.”

Namun, sekiranya pihak berwajib gagal melakukan demikian maka tahap tekanan akan meningkat sekali gus memaksa mereka berkerja lebih masa. 

“Ini boleh menyebabkan darjah tekanan masyarakat semakin meningkat kerana terpaksa menghabiskan lebih banyak masa bekerja bagi memenuhi tuntutan kos hidup. Hal ini boleh membawa kepada kesan negatif lain.

“Dua puluh tahun dulu ibu bapa berdepan cabaran dan masalah berbeza dalam usaha mencari nafkah hidup dan membesarkan anak berbanding masa kini,” katanya. 

Katanya, ibu bapa walaupun mempunyai pelbagai kemudahan, namun situasi dihadapi lebih mencabar dan kompleks dalam hendak membesar dan mendidik anak. 

Dunia tanpa sempadan 

Sementara itu, Prof Madya Dr Kartini Aboo Thalib @ Khalid melahirkan kebimbangan kemajuan teknologi tanpa pemantauan akan memberi kesan buruk kepada anak muda.

Menyifatkan teknologi tidak dapat dikawal, pendedahan gajet tanpa pemantauan misalnya turut kepada kegiatan buli.

“Kualiti masa dengan anak merupakan faktor yang sering dirujuk sebagai platform pencegahan mahupun intervensi tetapi dunia moden dan kemajuan IT menyebabkan buli siber sesuatu yang amat sukar dikawal.

“Semua manusia di Malaysia ada telefon pintar dan terdedah dengan buli bentuk maya yang akhirnya membawa kepada penderaan fizikal,” kata timbalan pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), UKM.

“Kemajuan dan pemodenan tidak harus dipersalahkan tetapi bagaimana cara manusia mengurus hidup sesama manusia agar seiring dengan kemajuan tamadun manusia itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata pengaruh media massa dan filem ganas menjadi faktor buli selain permainan elektronik dan video berkaitan keganasan yang berleluasa didedahkan kepada kanak-kanak. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen