Pemimpin Umno, BN tak peduli reputasi Malaysia, kata Dr Mahathir


DR Mahathir Mohamad hari ini mengecam pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang didakwanya terus mendiamkan diri walaupun mengetahui yang “pemimpin mereka menyalah guna kuasa” dan menjadi tumpuan siasatan dan tuduhan negara luar.

Bekas perdana menteri itu mengatakan yang pemimpin itu mengetahui tentang laporan jenayah yang dilakukan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan penahanan jurubank serta penutupan bank di Singapora yang dikaitkan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan Najib bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan. Dia telah menghancurkan Umno dan negara,” dakwa Dr Mahathir dalam catatan terbaru blognya hari ini.

Dr Mahathir menamakan Menteri Multimedia dan Komunikasi Mohd Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed sebagai antara mereka yang mengetahui perkara sebenar tetapi didakwa memilih untuk terus mendiamkan diri.

Dia juga menuduh pemimpin parti komponen BN daripada MIC dan MCA dan semua menteri Kabinet lepas tangan daripada masalah itu. Ini ialah kali pertama Dr Mahathir mengkritik BN yang pernah diterajuinya mengharungi lima pilihan raya umum dengan kejayaan semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi kerajaan yang baik yang dibina pemimpin terdahulu.

“Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai di antara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah,” kata Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dia juga mendakwa yang semua menteri itu hanya peduli tentang diri mereka, menambah yang perkara lain bukan keutamaan mereka.

“Rakyat boleh menderita. Itu bukan masalah bapak-bapak menteri.”

Pengerusi Bersatu itu turut memberikan amaran kepada pemimpin pembangkang supaya berwaspada kerana mereka sedang ditakutkan dan membayangkan yang mereka mungkin akan ditahan menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Terdapat beberapa tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti.

“Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang. Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan,” katanya.

Dia kemudian merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk menolak Najib semasa PRU 14 walaupun pemimpin pembangkang terpaksa merengkok dalam penjara.

“Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini, mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan perkhidmatan yang diberikan.

“Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali,” tambah bekas perdana menteri itu lagi. – 29 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen