Jangan biarkan ‘warlords’ tentukan masa depan Umno, kata Khairy


Mohd Farhan Darwis

Calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tidak akan lompat ke parti lain jika kalah dalam pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2018.

AHLI Umno tidak lagi boleh membiarkan orang lain berfikir bagi pihak mereka untuk menentukan kepimpinan parti, sebaliknya merekalah yang mesti membuat keputusan sendiri mencorakkan kepimpinan parti pada pemilihan kali ini, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Calon Presiden Umno itu bagaimanapun yakin ahli Umno di akar umbi akan menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang tepat tanpa campur tangan “hulubalang” dalam Umno.

Ini kerana pemilihan kali ini tidak sama dengan pemilihan yang sebelumnya, katanya, ketika Umno sekarang tidak lagi memegang kuasa selepas kalah dalam pilihan raya umum yang baru lalu.

“Saya yakin perwakilan biasa, maknanya perwakilan cawangan mempunyai pemikiran sendiri dan tidak semestinya ikut arahan, jika ada, daripada mana-mana pihak.

“Mereka melihat antara sebab Umno berada dalam keadaan hari ini adalah kerana Umno tidak mengamalkan keterbukaan dalam mendengar suara akar umbi Umno, sebelum ini Umno seolah-olah terikat dengan suara daripada atas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mesej saya kepada perwakilan guna kuasa ahli dan fikir sendiri, jangan biar orang lain beri arahan kepada kita, buat keputusan sendiri apabila nak pilih pemimpin yang boleh menerajui parti,” tambahnya, ketika ditemui selepas mesyuarat Umno Bahagian Rembau di Senawang, semalam.

Khairy antara lima calon merebut jawatan presiden Umno, bersama-sama veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah dan pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiga calon utama.

Suaranya antara yang paling awal menggesa Umno melaksanakan perubahan menyeluruh selepas rakyat menolak parti itu. Dalam reaksi awal beliau selepas PRU14, Khairy berkata, Umno susah berubah kerana tipisnya budaya menegur pemimpin dalam parti itu.

Khairy kemudiannya menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti, dan tidak mengikut arus biasa maju mengikut hierarki parti. Ketika pencalonan dibuka pada 1 Jun lepas, Khairy pada mulanya menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden tetapi menukar fikiran bertanding jawatan presiden beberapa jam sebelum pencalonan ditutup seminggu yang lalu.

Khairy menjelaskan, beliau bertanding dengan hasrat mahu melihat Umno lebih terbuka, dan hanya dengan keterbukaan itu Umno boleh kembali kuat “dengan roh asal dalam jasad yang baru”.

Beliau bagaimanapun mengaku pada awalnya ada kebimbangan untuknya bertanding jawatan nombor satu Umno kerana Ketua Bahagian Umno Rembau, Mohamad Hasan juga bertanding jawatan timbalan presiden Umno, dan mereka berdua datang dari bahagian sama.

“Tetapi setelah dapat jumpa perwakilan mereka kata ini satu pemilihan yang dibuat dalam keadaan luar biasa dan tidak boleh ada kerisauan biasa.

“Ini masanya kita nilai individu atas kapasiti sendiri, bukan bahagian mana. Perwakilan terima penjelasan. Ada parti lain anak- beranak. Itu tiada masalah, apatah lagi kita bukan datang dari satu keluarga,” katanya.

Ini kali pertama ada pertandingan bagi jawatan presiden Umno dalam masa tiga dekad, sejak pemilihan 1987, ketika Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir Mohamad.

Selepas pemilihan itu, Umno berpecah kerana wujudnya kumpulan semasa pemilihan, dan parti kemudian menetapkan syarat ketat pertandingan selain selalu ada keputusan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti.

Ditanya tentang kumpulan atau kem dalam pemilihan kali ini, Khairy berkata, beliau tidak melihat ada kem tertentu atau senarai barisan kepimpinan, yang dipanggil “cai”, diedarkan kepada ahli di akar umbi.

“Saya sudah pergi ke tiga hingga empat negeri dan tiada cai. Kewujudan cai atau kem, kapal, rakit, dan sebagainya adalah masalah yang membelenggu pemilihan sebelum ini yang boleh bawa perpecahan.

“Kali ini tidak ada, kita bertanding atas semangat kekeluargaan secara ‘gentlemen’. Saya kalah pun saya akan setia dan tidak lompat mana-mana parti,  baru pemilihan kali ini sihat,” katanya. – 25 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ahli Umno tidak lagi boleh membiarkan orang lain berfikir bagi pihak mereka untuk menentukan kepimpinan parti, sebaliknya merekalah yang mesti membuat keputusan sendiri mencorakkan kepimpinan parti. Umno perlu lebih terbuka dalam mendengar suara akar umbi Umno.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan