Kenapa Khairy Jamaluddin bertanding Presiden Umno?


DENGAN rasa tawaduk dan penuh keinsafan, borang pencalonan saya untuk pemilihan Umno telah diserahkan ke ibu pejabat Umno sebentar tadi. Saya terdahulunya terpaksa meminta agar borang asal saya yang diserah pada 1 Jun 2018 bagi jawatan naib presiden Umno ditarik balik. Borang pencalonan saya yang terkini adalah untuk jawatan presiden Umno.

Keputusan saya ini tidak mudah untuk dibuat. Malah sehingga beberapa hari yang lepas, saya tetap dengan pendirian saya untuk hanya bertanding jawatan naib presiden Umno sahaja. Namun, setelah memikirkan masa depan dan survival Umno dalam keadaan hari ini, saya mengambil keputusan bertanding jawatan presiden Umno kerana saya mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana Umno perlu dikemudi.

Saya sangat hormat kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Malah, saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka. Saya juga sangat hormat kepada Ahmad Zahid Hamidi. Dalam Umno, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya.

Kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan masing-masing. Tengku Razaleigh adalah seorang negarawan yang berjaya mengasaskan institusi-institusi penting negara seperti Petronas dan Bank Bumiputra. Ahmad Zahid pula adalah seorang pejuang yang telah melalui jatuh bangun dunia politik dan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan akar umbi parti. Kedua-dua mereka merupakan calon-calon yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk jawatan presiden ini.

Namun, memandangkan pertandingan di peringkat tertinggi Umno kali ini adalah terbuka, saya mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk Umno.

Sudah pasti, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti calon-calon yang lain. Tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam Umno. Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan Umno.

Saya berikrar untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga, bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam parti agar Umno dikembalikan kepada roh asal dengan jasad yang baharu.

Roh yang saya maksudkan adalah parti Melayu yang inklusif, dengan menunjukkan keterangkuman yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja. Parti untuk orang biasa. Parti yang menjaga kepentingan orang biasa. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata. Parti yang berjiwa besar terhadap kaum-kaum lain dan mungkin satu hari nanti Barisan Nasional boleh dibina semula sebagai satu rumah besar untuk semua.

Biarlah semangat perjuangan kita beteraskan fastabiqul khairat - berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada rakyat, dan bukannya berlumba-lumba untuk jawatan, pangkat dan kekayaan.

Jasad yang baharu bermaksud penstrukturan semula parti secara total. Umno mesti mengembalikan semangat keterbukaan dalam segala aspek. Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat. Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan. Terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui Umno dan bebas daripada cengkaman “warlords”.

Budaya ilmu perlu memacu perjuangan Umno di setiap peringkat. Biarlah perhimpunan agung menjadi medan pertembungan idea untuk kebaikan rakyat dan bukannya pesta ucapan retorik yang hanya menghiburkan ahli parti. Biarlah orang yang luar dari “sistem parti” diangkat bersama ke jawatan tertinggi - baik para ilmuan, profesional serta aktivis yang mungkin selama ini disekat dan dipinggirkan. Kita buka pintu Umno seluas-luasnya kepada siapa sahaja yang ingin membina semula parti kita.

Saya sedar saya juga penuh dengan kelemahan. Dan mungkin ada yang rasa saya terlalu muda dan mentah. Tetapi kita berada di zaman luar biasa yang menuntut jalan yang bukan biasa. Saya hanya mahu memberi para perwakilan pilihan yang seluas-luasnya. Menang kalah di tangan perwakilan dan ketentuan Ilahi.

Walau apapun keputusan kelak, kesetiaan saya kepada Umno tidak berbelah bagi dan saya akan menyokong siapa sahaja yang dipilih menjadi presiden Umno yang baharu nanti. Yang penting, pemilihan ini perlu berjalan dalam semangat kekeluargaan Umno agar ia dapat menjadikan parti lebih kuat untuk mengharungi cabaran besar pada hari-hari mendatang.

Inilah permulaan jalan yang jauh dan berliku. Jalan yang hari ini mungkin tidak nampak sinar di penghujungnya. Tetapi saya yakin, jika Umno dapat dikembalikan dengan roh perjuangan yang asal namun dalam jasad yang lebih segar, rajawali perjuangan akan terbang semula satu hari nanti. – 17 Jun, 2018.

*Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia, calon Presiden Umno Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen