Pengusaha restoran mahu arahan ambil tukang masak tempatan ditimbang semula


Kebanyakan restoran mamak di Malaysia mengupah tukang masak dari selatan India kerana gaji yang munasabah dan mereka sudah tahu resipi masakan yang diperlukan. Tukang masak tempatan pula mengambil masa yang lama untuk dilatih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2018.

PERSATUAN restoran terkejut dengan pengumuman mendadak Putrajaya bahawa hanya tukang masak tempatan boleh diambil bekerja di restoran-restoran mulai 1 Januari 2019 dan mahu pandangan mereka didengar terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad dibuat.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub menggambarkan pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran semalam sebagai “mengejutkan’.

“Bukan senang hendak mengupah pekerja tempatan bekerja di restoran mamak,” Ayoob dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Beliau berkata kebanyakan restoran mamak di Malaysia mengupah tukang masak dari selatan India kerana gaji yang munasabah dan mereka sudah tahu resipi masakan yang diperlukan. Tukang masak tempatan pula mengambil masa yang lama untuk dilatih, tambah Ayoob.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Ho Su Mong juga membantah keputusan Kulasegaran kerana menurutnya, untuk melatih tukang masak menguasai kemahiran tertentu memerlukan masa yang lama.

Selain itu, katanya, tiada tukang masak yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan selain dari tuntutan gaji yang tinggi.

“Di Johor Bahru, pemilik kedai kopi menawarkan gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, tetapi itupun susah nak dapatkan pekerja tempatan kerana mereka mahu mendapatkan gaji yang lebih tinggi di Singapura,” Ho dipetik berkata.

Setiausaha Agung Persatuan Restoran Selangor Dan Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choong Hung, Ringo Kaw memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan perlu bertanya pendapat semua pihak yang berkepentingan terlebih dulu.

Arahan itu akan menjejaskan perniagaan makanan dan minuman kerana akan meningkatkan kos, katanya.

Data dari Kementerian Dalam Negeri dari 2002 hingga 2017 menunjukkan kenaikan dari 1.06 juta kepada 1.8 juta pekerja asing, atau 250,000 bekerja di sektor perkhidmatan termasuk restoran. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen