WALAUPUN dikritik kerana berterus-terang, Lim Guan Eng tegas dalam tujuannya untuk memberitahu kebenaran mengenai situasi kewangan negara.
Menurut menteri kewangan itu, negara kini terpaksa menanggung hutang berjumlah sehingga RM1 trilion, berpunca daripada amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menipu berhubung status sebenar kedudukan kewangan negara, katanya.
Justeru, beliau menegaskan pentadbirannya tidak akan sesekali menipu walaupun penipuan itu dikatakan perlu demi kebaikan sesuatu perkara.
“Saya tidak menyangka akan dimarah kerana menyatakan kebenaran. Saya disuruh menipu supaya tidak menggoncang pasaran. Pasaran hanya bergoncang jika kita menipu.
“Kenapa perlu sorok kebenaran daripada rakyat? Kerajaan sebelum ini sembunyikan kebenaran daripada kita dan lihat apa yang berlaku,” katanya, dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Ahli Parlimen Bagan itu sebelum ini dikritik kerana mengeluarkan kenyataan berhubung status sebenar hutang negara berjumlah RM1.0873 trillion atau 80.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga didakwa memberikan kesan terhadap pasaran saham.
Kenyataannya itu turut ditegur bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim dan mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.
Anwar turut menasihati Guan Eng supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan sebelum ini.
Guan juga berkata Anwar turut menghubunginya dari Istanbul bagi mendapatkan penjelasan daripadanya berhubung isu tersebut.
“Anwar ada hubungi saya selepas itu. Butiran lanjut tanya Anwar sendiri,” katanya.
Dalam wawancara berkenaan, setiausaha agung DAP itu turut menganggarkan 1Malaysia Development Berhada mengakibatkan kerajaan menanggung hutang berjumlah sehingga RM50 bilion.
“Saya tidak akan menipu walaupun untuk perkara baik kerana negara ini menjadi seperti hari ini kerana pegawai kerajaan tidak berani bercakap benar,” katanya.
Tambahnya, mekanisme dan platform lama yang menjadi amalan seperti dahulu tidak lagi boleh dilakukan kerana ia mengakibatkan masalah besar.
“Amalan ini perlu berubah. Sekarang kita berhadapan kebenaran dan kuasa akan bercakap benar kepada rakyat,” tegasnya.
“Saya tidak faham kenapa ini (bercakap benar) dilihat salah. Saya rasa kita kena semak semula. Kalau itu menjadikan saya menteri kewangan paling tidak popular dalam negara biar, saya tanggung.” – 22 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan