MENTERI Kewangan Lim Guan Eng sepatutnya membenarkan kementerian dan agensi kerajaan lain mendedahkan skandal, kata Anwar Ibrahim.
Ketua umum Pakatan Harapan itu berkata Lim sebaliknya perlu memfokuskan kepada menenangkan dan menanamkan keyakinan terhadap pelabur.
“Setakat ini menteri juga diberi tugas untuk mendedahkan perjanjian dan penyelewengan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Namun Lim boleh menugaskan seorang atau dua menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bercakap tentang pendedahan,” kata Anwar dalam temubual dengan Astro Awani.
Anwar yang merupakan menteri kewangan dari 1991 hingga 1998 berkata, apa pun Lim cakap sebagai menteri kewangan akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur.
Sejak dilantik sebagai menteri kewangan bulan lalu, Lim telah mendedahkan skandal oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Minggu lalu, Channel News Asia memetik Lim sebagai berkata terdapat satu lagi skandal kewangan besar “membabitkan kementerian kewangan” ketika ia diterajui bekas perdana menteri Najib Razak.
Terdahulu, beliau juga berkata agensi Perkhidmatan Pelabur Moody tidak mendedahkan tahap sebenar hutang kerajaan dalam laporannya tentang Malaysia.
Moody minggu lalu melaporkan perkembangan baru-baru ini seperti cadangan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pengenalan semula subsidi minyak dan tahap hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mungkin menjejaskan tahap hutang Malaysia.
Sementara itu, pelabur asing menjual semua saham di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut.
Agensi penyelidikan MIDF Research melaporkan jumlah bersih yang dilepaskan mencecah RM1.21 bilion minggu lepas.– 19 Jun, 2018
Komen