Kami hanya ingin tahu kebenaran, kata balu Teoh Beng Hock


Pengumuman kerajaan untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock menggembirakan Soh Cher Wei yang sekian lama berdoa untuk mengetahui kebenaran di sebalik kematian suaminya itu. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

SETIAP hari selama sembilan tahun yang lalu, Soh Cher Wei berdoa untuk satu perkara: mengetahui kebenaran mengenai kematian suaminya, Teoh Beng Hock yang berlaku di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Selangor.

Semalam, langkah terakhir ke arah penutupan peristiwa kematian kontroversi itu menjadi realiti apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata ia akan membuka semula siasatan.

“Saya gembira melihat ini berlaku. Terima kasih,” kata guru sekolah rendah berusia 38 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Yang pasti, bukan hanya Soh sahaja yang menunggu pengumuman semalam.

Keluarga Teoh - ibu bapa, adik beradiknya, dan anak lelakinya, Teoh Er Jia - juga sentiasa mencari penjelasan berhubung kematiannya.

Pada 16 Julai 2009, Teoh, 30, didapati mati di tingkat lima pejabat SPRM di Selangor selepas disoal siasat selama 11 jam sebagai saksi dalam kes yang melibatkan penyalahgunaan peruntukan peruntukan oleh beberapa Adun.

Dia adalah setiausaha politik kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

“Terdapat terlalu banyak soalan yang tidak dijawab. Saya faham walaupun kebenaran itu diketahui, ia tidak boleh mengubah apa-apa. Tidak kira jika ia satu pembunuhan atau tidak, kami semua hanya mahukan jawapan,” kata Soh kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di kampungnya di Ayer Hitam, Johor.

“Paling utama adalah bagi ibu bapa Beng Hock. Tiada siapa dapat membayangkan penderitaan dialami mereka.”

Pada 12 Mei 2012 apabila Putrajaya dan SPRM mengakui kecuaian dalam kematian Teoh, dan diarahkan oleh mahkamah membayar ganti rugi kepada keluarganya sebanyak RM600,000 dan RM60,000 sebagai kos.

Peguam keluarga Teoh pada masa itu, Gobind Singh Deo, berkata keluarga itu mahu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian itu dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Tetapi tiada apa yang berlaku sehinggalah semalam.

Selepas kematiannya, Soh yang ketika itu sedang hamil pulang ke kampung halamannya.

Soh mendiamkan diri selama bertahun-tahun.

“Ini kerana saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan. Saya tidak tahu apa yang perlu difikirkan,” kata Soh sambil menambah beliau kini tinggal bersama anak dan ibu bapanya di Ayer Hitam.

“Mungkin kerana saya berusaha sebaik mungkin untuk tidak membincangkannya.”

Tetapi dia tidak pernah berputus asa.

Pada 9 Mei, PH menawan Putrajaya dan menjadi hari baru bagi Soh.

Rakan-rakan Teoh dalam DAP berusaha keras untuk mendapatkan keadilan memandangkan mereka kini berada dalam kerajaan.

Anak lelaki Beng Hock, Er Jia, bakal menginjak usia 9 tahun, pelajar tahun dua di sekolah rendah Cina.

Wajah Soh ceria setiap kali berbicara mengenai anaknya.

“Dia seorang anak yang baik, sangat penyayang, sama seperti ayahnya.

“Anda tahu, Beng Hock adalah anak yang taat, dia suka berada di rumah, dia biasanya pulang terus ke rumah apabila tidak bekerja. Walaupun sibuk, dia akan menelefon apabila ada peluang.”

Apabila Er Jia semakin membesar, dia mula bertanya tentang bapanya. Soh memberitahu bapanya seorang lelaki yang bersemangat dan wartawan.

Anaknya bertanya, “bagaimana ayah meninggal dunia?” Dia memberitahunya, “Disebabkan penyakit, sama seperti nenek.”

Soh berasa masih terlalu awal untuk anaknya mengetahui tentang kedahsyatan dan kegelapan sebuah kehidupan.

“Er Jia baru sembilan tahun. Saya tidak boleh menjelaskan terlalu banyak tentang apa yang berlaku kepadanya pada usia semuda ini. Saya juga tidak fikir dia akan faham. Saya akan menunggu sehingga dia lebih besar, apabila dia dapat memahami, ia adalah masa yang tepat untuk saya menjelaskan semua perkara.” – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen