Isa Samad letak jawatan pengerusi FGV, kini pemangku SPAD


Nabihah Hamid

ISA Samad, yang meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hari ini, diberikan “ganjaran” dengan jawatan pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Sebagai menghargai perkhidmatan Isa, beliau dilantik sebagai pemangku pengerusi SPAD,” kata Perdana Menteri Najib Razak di Putrajaya hari ini.

Pengerusi SPAD Syed Hamid Albar bersara pada 3 Jun.

Najib berkata: “Kami membincangkan masa depan FGV dan Isa meletak jawatan atas kerelaannya.”

Sulaiman Mahbob pula akan mengambil alih sebagai pemangku pengerusi FGV.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Isa dan Lembaga Pengarah memaksa Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.

Isa dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas FGV pada 1 Januari, 2011.

Bagaimanapun, nasib kurang baik bagi CEO dan presiden kumpulan FGV Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan lain, yang digantung tugas dua minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan dan FGV sudah menerima laporan bebas daripada Idris Jala berhubung keputusan menggantung tugas CEO, CFO dan dua pegawai pengurusan lain.

“Melihat kepada laporan itu, kerajaan dan FGV hari ini menerima empat dapatan utama. Antaranya ialah asas untuk menyiasat Zakaria berhubung tuduhan melanggar prosedur dalam Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV,” katanya.

Terdahulu BH Online melaporkan Isa bertemu perdana menteri di Perdana Putra di Putrajaya jam 8 pagi tadi. – 19 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen