KPKT minta bank pertimbangkan 'sumber pendapatan kedua ketiga' untuk pinjaman rumah 


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar bank-bank mengambil kira sumber pendapatan kedua dan ketiga sebagai kriteria kelayakan permohonan pinjaman perumahan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata cadangan itu mungkin boleh memberi kelonggaran penarafan kredit bagi mengatasi masalah peratusan penolakan pinjaman perumahan yang tinggi dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

“Walaupun pemohon sudah mengemukakan jumlah pendapatan utama namun, sekiranya mereka ada sumber pendapatan kedua dan ketiga (tanpa slip gaji) seperti berniaga yang wajar diambil kira sebagai kriteria kemampuan untuk bayar balik pinjaman.

“Langkah mengambil kira semua pendapatan pemohon (pendapatan utama dan sampingan) mungkin memberi kelonggaran seterusnya melayakkan mereka mendapat pinjaman,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Zuraida berkata cadangan lain termasuklah menggunakan kaedah “rent to own” iaitu kemudahan memiliki rumah selepas menyewa bagi tempoh tertentu serta mempertimbangkan kelayakan mendapat pinjaman berdasarkan angka unjuran gaji pemohon.

KPKT, katanya, sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan dan dijangka perbincangan lanjut berhubung mekanisme itu akan dibuat bersama BNM dalam tempoh terdekat, selepas musim Aidilfitri ini.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata KPKT akan mempercepatkan usaha pelarasan semua skim perumahan mampu miliki kerajaan menerusi cadangan penubuhan Majlis Perumahan Mampu Milik di bawah kementerian itu, Ogos ini.

Selepas kerajaan meluluskan penubuhannya, semua agensi perumahan mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) akan diperkemas serta diselia secara berpusat untuk pengurusan yang lebih mudah.

Menurutnya, apabila pelarasan itu dibuat, projek terlibat juga akan menggunakan nama baharu yang akan diumumkan kelak bagi menggantikan jenama 1Malaysia yang digugurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. – Bernama, 16 Jun, 2018

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen