Dera, kurang toleransi punca cerai pasangan Islam meningkat


Yasmin Ramlan

BUKAN mudah bagi Aleeya Azman (bukan nama sebenar) membuat keputusan untuk bercerai dengan suaminya pada usia 26 tahun, tahun lalu. 

Lebih-lebih lagi apabila usia perkahwinan mereka baru saja menginjak empat tahun.

Namun, memandangkan sering bergaduh dan didera suami, Aleeya berasa penceraian adalah jalan yang terbaik.

“Dia (bekas suami) seperti orang gila seks kerana sering menonton video lucah, berbual lucah dengan perempuan tidak dikenali, gemar melihat gambar lucah dan lebih teruk apabila pernah cuba mengacau adik saya.

“Dia biasanya berkenalan dengan ramai wanita melalui media sosial seperti WeChat, Beetalk dan Facebook,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Aleeya mempunyai dua anak lelaki berumur tiga dan lima tahun yang berada di bawah jagaannya.

Kes Aleeya adalah sebahagian daripada statistik perceraian 171,252 pasangan Islam dari 2014 hingga 10 Julai tahun lalu dengan Selangor, Sabah dan Johor mencatatkan kadar penceraian tertinggi sepanjang tempoh itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azizah Mohd Dun berkata rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mencatatkan 59,712 kes penceraian pada 2014, 63,463 pada 2015 dan 48,077 sehingga 10 Julai, 2016.

Pendedahan beliau adalah jawapan bagi soalan dikemukakan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada sidang Parlimen tahun lalu berkenaan statistik terkini penceraian di Malaysia bagi 2014 hingga 2016 mengikut negeri dan bangsa.

Ia menyaksikan Selangor mencatatkan kes tertinggi dalam tempoh tiga tahun iaitu 30,901 kes.

Katanya, kajian mendapati kebanyakan tempoh perkahwinan pertama yang berakhir dengan penceraian adalah terdiri daripada pasangan yang mempunyai usia perkahwinan kurang lima tahun.

Punca utama penceraian pula, tiada persefahaman, suami dan isteri curang, campur tangan mentua atau ipar duai serta suami tidak bertanggungjawab.

Peguam syarie Akberdin Abdul Kader bekata peningkatan jumlah penceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini adalah satu fakta.

Akberdin berkata, kebanyakan mereka mempunyai tempoh perkahwinan di bawah 10 tahun.

Antara faktor yang sering menjadi punca keruntuhan rumah tangga adalah atas alasan yang remeh seperti campur tangan ibu bapa, penderaan, poligami, curang, masalah kewangan dan media sosial.

“Memang betul jumlahnya (penceraian) semakin meningkat. Lebih-lebih lagi dengan cara kehidupan hari ini – di bandar dan ditambah dengan media sosial.

“(Punca) dibezakan antara mereka yang berpelajaran tinggi dan kurang berpelajaran. Bagi yang berpelajaran tinggi, dari segi kewangan, mereka sangat stabil. Jadi, mereka mudah mengadakan hubungan (sulit) di luar. 

“Yang kurang pendidikan pula tahap pemikiran tak matang, jadi mereka tidak tahu untuk menguruskan masalah tersebut,” katanya.

Selain itu, kurangnya toleransi sesama pasangan dan meminta pandangan pihak ketiga tanpa merujuk kepada pakar kaunseling menyumbang penambahan angka penceraian ini.

“Mereka sebenarnya boleh mengajukan masalah ini (kepada kaunseling), tetapi ambil ringan dan cerai jadi jalan penyelesaian.

“Orang sekarang ambil mudah tentang perkahwinan. Mereka tidak mahu mendapatkan kaunseling dan selalu mendengar cakap pihak ketiga,” katanya.

Meskipun sebelum ini Aleeya pernah cuba mendapatkan nasihat kaunseling daripada seorang ustaz, perubahan positif bekas suaminya, 31, yang merupakan bekas tentera udara hanya bertahan seminggu.

“Saya cuba memberi peluang tetapi dia hanya sedar seminggu sahaja dan kemudian kembali kepada perangai asal. Dia juga mudah memukul saya apabila kami bergaduh.

“Suami saya mempunyai panas baran yang melampau dan sering marah kerana perkara kecil. Saya cuba mengalah dan bersabar tetapi sikap suami semakin menjadi-jadi,” katanya.

Berdasarkan statistik Sister In Islam (SIS), masalah tertinggi yang banyak diadukan oleh kliennya pada 2016 adalah penderaan (22%), suami gagal menyediakan nafkah (17%) dan hubungan dengan orang ketiga (16%).

Menurut pegawai undang-undangnya Andi Suraidah, keganasan domestik dan pengabaikan tanggungjawab dari segi nafkah oleh suami adalah perkara yang ditekankan.

Katanya, keganasan dalam rumah tangga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada wanita itu bekerjaya atau sebaliknya.

“Kami mempunyai klien yang merupakan seorang profesor.

“Kalau mereka yang berpendapatan rendah pula, mereka tunggu anak besar dan menerima saja (dipukul). Kadang-kala mereka bertahan sehingga beberapa tahun kerana memikirkan anak dan terpaksa bergantung kepada suami dari segi kewangan.”

Sehubungan itu, jika mereka bercerai, banyak perkara perlu dipertimbangkan dan komitmen bertambah.

Katanya, kebanyakan mereka yang mengalami keganasan rumah tangga mempunyai personaliti terlalu bergantung kepada suami dan tidak melawan.

Aleeya sebelum ini bekerja sebagai pegawai unit penaja di universiti swasta dan pada masa sama menjadi pemandu Uber separuh masa untuk menanggung kehidupan bersama anaknya.

Kini, dia berjaya memperoleh ijazah sarjana daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan sedang menjalani latihan pegawai tentera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Kehidupan saya lebih bahagia sekarang selepas berpisah dengan bekas suami dan tidak lagi tertekan kerana tiada lagi insiden pergaduhan,” katanya. – 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen