Kementerian Pengangkutan batal kontrak RM800,000 dengan Pemandu


Melati A. Jalil

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau tidak memerlukan mana-mana syarikat untuk menyediakan program komunikasi bagi pihaknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Jun, 2018.

KEMENTERIAN Pengangkutan menamatkan kontrak bernilai RM800,000 untuk Pemandu Associates menulis di ruangan mingguan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris arus perdana.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kontrak yang ditandatangani oleh bekas menteri, Liow Tiong Lai itu adalah untuk Pemandu menyampaikan “program komunikasi menteri” selama tujuh bulan bermula Januari tahun ini.

“Kontrak itu bernilai RM808,629.48.

“Pegawai kementerian tidak tahu mengenai skop komunikasi menteri namun mereka difahamkan yang salah satunya ialah untuk membantu menteri menulis satu kolum mingguan,” kata Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Liow yang juga presiden MCA mempunyai ruangan mingguan dalam akhbar milik parti itu, The Star, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Saya sudah mengarahkan kementerian supaya membatalkan peruntukan ini kerana kita tak perlukan mana-mana syarikat untuk menyediakan program komunikasi bagi menteri.

“Saya boleh berkomunikasi secara terus kepada media. Saya tak perlukan mana-mana syarikat perhubungan awam membantu saya dalam program komunikasi,” kata Loke.

Kontrak RM800,000 itu kata Loke adalah satu contoh perbelanjaan tak perlu oleh kerajaan terdahulu.

“Saya diberitahu yang tiada pembayaran dibuat, belum ada tuntutan dari syarikat tersebut tetapi kita tak perlukan khidmat mereka.

“Saya tak pasti bayaran itu berdasarkan perkhidmatan atau mengikut ruangan, tetapi nilai kontrak ialah RM808,000,” katanya sambil menambah Kementreian Pengangkutan tidak perlu menggunakan wang itu meskipun peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada belanjawannya.  – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen