Apa ancaman evangelical, soal Mujahid


Looi Sue-Chern

“ANCAMAN” Kristian evangelical bukan perkara baharu kerana ia sudah dimainkan berulang kali sejak beberapa tahun lalu oleh mereka yang mahu memecahkan masyarakat berbeza agama, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Berapa ramai Muslim jadi murtad? Saya tidak tahu. Bagaimana mereka menukarkan negara majoriti Islam menjadi negara Kristian? Ada bukti untuk semua itu?,” katanya.

Tetapi apa yang lebih mengejutkan Mujahid ialah mereka yang membuat tuduhan terhadap Kristian evangelical tahu tidak ada kebenaran dalam dakwaan itu, yang mereka menyebarkan fahaman itu kepada umat Islam.

Mujahid berkata demikian ketika mengulas artikel Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sokongan Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin, yang disiarkan di Utusan Online pada Khamis, mendesak kerajaan menggubal undang-undnag anti evangelikalisme.

Azril juga menggambarkan Kristian evangelical sebagai “gerakan bahaya” yang patut diharamkan.

“Ini mengejutkan saya. Ancaman itu palsu. Tidak ada kebenaran, dan mereka yang menjadikan perkara ini isu tahu ia tidak benar.

“Tetapi mereka masih memainkannya, dan itu membimbangkan saya kerana ia boleh menjadikan hubungan antara agama lebih teruk dalam kalangan masyarakat berbeza agama,” kata Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada satu majlis berbuka puasa di Pulau Pinang, malam tadi.

Terdahulu pada majlis itu, Mujahid juga bercakap mengenai dakwaan Pulau Pinang kini menjadi bandar Kristian.

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan dalam posting di Facebook baru-baru ini mendakwa wujudnya gerakan Kristian, dan golongan evangelis yang lebih radikal dan aktif di sekitar Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata niat kumpulan berkenaan ialah untuk meminda perlembagaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar Kristian.

“Amat memalukan apabila berita palsu seperti itu tersebar pada bulan suci Ramadan, masa di mana kita sepatutnya menganjurkan keamanan, lebih pemahaman dan hormat satu sama lain,” kata Mujahid.

Naib presiden DAP dan juga senator Dr Ariffin Omar turut menolak dakwaan itu, berkata mustahil dan tidak logik untuk mengatakan Pulau Pinang sedang menjadi bandar Kristian.

Ariffin berkata ketika menjadi pensyarah di Universiti Pertahanan Negara Malaysia, ada tuduhan menyatakan beliau sedang menubuhkan gereja dan akan menjadi biskop.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata lebih baik pentadbiran Pulau Pinang fokus kepada pembangunan negeri daripada melayan fitnah.

Beliau menyentuh mengenai komitmen negeri dalam pembangunan hal ehwal Islam seperti memberi bantuan kepada guru agama dan kumpulan lain yang berhak menerima sumbangan daripada kerajaan negeri. – 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen