Presiden Umno dan ketua pembangkang mesti dua individu berbeza, kata Nazri


Vasudevan Vamadevan

KALAU ikut cara Mohamed Nazri Aziz, presiden Umno dan ketua pembangkang di Parlimen akan digalas oleh dua individu yang berbeza.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata inilah yang akan diusulkannya menjelang persidangan Parlimen yang akan diadakan selepas Hari Raya.

“Ini kali pertama kita (Umno) jadi pembangkang dan sudah sampai masanya ahli-ahli Parlimen Umno menentukan siapa akan menjadi ketua,” Nazri beritahu The Malaysian Insight.

“Kebiasaannya presiden parti automatik menjadi perdana menteri. Sekarang dah lain ceritanya. Sekarang kita mesti memilih siapa yang akan memimpin. Ini sudah bukan soal parti lagi,” katanya. 

Bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan itu berkata Barisan Nasional (BN) menang 79 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

“Umno ada 54 kerusi dan membentuk blok terbesar dalam pembangkang. Seorang daripada ahli Parlimen Umno akan jadi ketua pembangkang,” kata Nazri.

Sedang Ahmad Zahid Hamidi yang secara semulajadinya dipilih berdasarkan peranannya sebagai pemangku presiden semenjak Najib Razak melepaskan jawatan, sesetengah pihak dalam Umno merasakan beliau perlu menumpukan perhatian kepada bagaimana untuk membina semula parti.

“Mengenai siapa yang akan menjadi ketua akan ditentukan kemudian. Sebelum ini pun dah pernah berlaku. Lim Kit Siang (DAP) jadi ketua Parlimen sedangkan beliau bukan setiausaha agung parti,” jelas Nazri.

Bagaimanapun, Nazri mengelak dari menawarkan diri sebagai calon ketua pembangkang.

Satu lagi nama yang disebut-sebut sebagai calon sesuai untuk jawatan ketua pembangkang ini ialah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga bertanding bagi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti pada 30 Jun ini.

Manakala Zahid sudahpun mengumumkan akan bertanding jawatan presiden.

Sehingga kini, Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein masih belum menyatakan pendirian sama ada akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Beliau kini mengambil tugas-tugas timbalan presiden parti.

Sabtu lalu bekas menteri besar Negeri Sembilan dan Ketua Umno negeri, Mohamad Hasan mengumumkan akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apapun perancangan umno selepas ni, kasi bersih dulu apa yang ada dalam umno tu. sekarang ni orang duk tengok umno penuh dengan rasuah. umno kena muhasabah diri balik. saya rasa yang atas2 tu banyak yang nak kena singkir tu. hehehe.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan