Mohamad Hasan tanding timbalan presiden Umno


Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan berkata beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira permintaan ahli serta hala tuju parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar Facebook, 2 Jun, 2018.

BEKAS menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti itu, menjadikannya pemimpin Umno pertama tampil menyatakan hasrat untuk jawatan nombor dua tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira permintaan ahli serta hala tuju parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya akan menghantar pencalonan secara online pada petang ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

“Saya akan pastikan Umno mendapat nafas baharu dan kembali ke landasan asas penubuhan parti demi mengembalikan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

Dua jawatan tertinggi presiden dan timbalan presiden Umno kini dipangku tugas-tugasnya oleh dua naib presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein, selepas Najib Razak letak jawatan tiga hari selepas Barisan Nasional yang diterajui parti itu kalah PRU14.

Zahid sebelum itu menjalankan tugas timbalan presiden sejak pertengahan 2016 selepas Muhyiddin Yassin dibuang dari Umno.

Zahid setakat ini belum menyatakan pendiriannya tentang jawatan yang akan ditandinginya, atau apakah beliau akan bertanding, namun dipercayai akan bertanding jawatan nombor satu.

Hishammuddin pula beberapa hari lalu dilaporkan tidak mahu bertanding apa-apa jawatan, termasuk tidak mempertahankan kerusi naib presiden.

Sehingga ini, sekurang-kurangnya dua orang sah mengemukakan pencalonan untuk jawatan naib presiden iaitu Ahli Majlis Tertinggi Abdul Johari Ghani dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. Esok, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman dijangka mengemukakan pencalonannya.

Pencalonan bagi pemilihan Umno untuk semua peringkat bahagian, sayap dan pusat dibuka sehingga 17 Jun ini. Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor kelmarin berkata, semua ahli Umno yang mahu menawarkan diri bertanding boleh mengemukakan sendiri pencalonan mereka, tanpa perlu ada orang lain yang mencalonkan.

Pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun ini, seminggu selepas pemilihan peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. – 2 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen