Zahid tanding presiden Umno


Menurut sumber dipetik Utusan Online, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi sudahpun menghantar borang pencalonan ke ibu pejabat Umno semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu.

Menurut sumber yang dipetik Utusan Online, Zahid sudahpun menghantar borang pencalonan ke ibu pejabat Umno semalam.

“Beliau akan bertanding jawatan Presiden dan menjadi individu pertama yang mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno semalam,” sumber itu dipetik berkata.

Manakala Hishammuddin Hussein yang kini memangku tugas timbalan presiden masih belum membuat keputusan mengenai jawatan yang akan ditandinginya.

Menurut Utusan Online, Setiausaha Akhbarnya, Fadzli Mohamad Kamal berkata Hishammuddin kini sedang menunaikan ibadah umrah di Mekah.

Dalam pada itu, bekas menteri Negeri Sembilan Mohamad Hasan sebelum ini mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira permintaan ahli serta hala tuju parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya akan menghantar pencalonan secara online pada petang ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

“Saya akan pastikan Umno mendapat nafas baharu dan kembali ke landasan asas penubuhan parti demi mengembalikan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya dua orang sah mengemukakan pencalonan untuk jawatan naib presiden iaitu Ahli Majlis Tertinggi Abdul Johari Ghani dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. Esok, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman dijangka mengemukakan pencalonannya.

Pencalonan bagi pemilihan Umno untuk semua peringkat bahagian, sayap dan pusat dibuka sehingga 17 Jun ini. Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor kelmarin berkata, semua ahli Umno yang mahu menawarkan diri bertanding boleh mengemukakan sendiri pencalonan mereka, tanpa perlu ada orang lain yang mencalonkan.

Pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun ini, seminggu selepas pemilihan peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. – 2 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen