Antara KWSP dan nafkah


Zaidel Baharuddin

HANGAT diperkatakan baru-baru ini akan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk menguatkuasakan caruman 2% dari gaji suami ke dalam akaun KWSP isteri sekiranya si isteri seorang suri rumah. Caruman itu juga dikatakan bakal diperkasakan lagi dengan tambahan bantuan kerajaan sebanyak RM50 untuk setiap kali mencarum.

Walaupun pengenalan dasar ini merupakan satu tindakan yang dilihat positif, ia masih memerlukan perincian lebih mendalam untuk dilaksanakan.

Ini kerana dasar ini harus mengambil kira pelbagai faktor yang berkait seperti takrifan suri rumah tangga itu sendiri, adakah sekiranya si isteri itu mempunyai perniagaan sambilan atau bekerja dari rumah (tanpa mengambil caruman KWSP) mereka turut layak untuk skim ini?

Bagaimana pula untuk suami yang menjadi pengurus rumah tangga, adakah gaji isteri mereka boleh dicarum juga?

Bagaimana pula untuk keluarga yang mempunyai hubungan poligami? Adakah isteri kedua, ketiga dan keempat mempunyai hak yang serupa dengan isteri pertama?

Pelbagai sudut dan takrifan yang wajar dikaji dan diperhalusi sebelum dasar ini dilaksanakan. Walau bagaimanapun, umumnya ia satu dasar yang boleh dikatakan baik dari segi niatnya dan boleh dikatakan agak progresif.

Namun ini membuatkan saya terfikir, walaupun ini merupakan satu dasar yang dilihat sebagai positif, adakah dasar ini dirangka mengikut keperluan kaum wanita masa kini atau adakah ia merupakan janji populis pilihan raya semata-mata?

Ini kerana, penggerak utama kepada dasar ini adalah tidak lain dan tidak bukan Yang Amat Berhormat timbalan perdana menteri sendiri yang juga merupakan menteri wanita dan pembangunan keluarga.

Timbul lagi satu persoalan: adakah dasar ini berbentuk penyelesaian kepada suatu permasalahan dan dirangka berdasarkan keperluan kaum wanita hari ini, atau adakah ada isu lain yang lebih kritikal wajar kita beri tumpuan untuk diselesaikan terlebih dahulu?

Bercakap mengenai pasangan yang berkahwin, ada 63,463 kes penceraian berlaku pada 2015 dalam kalangan pasangan beragama Islam di Malaysia. Ini bermaksud dalam 2015 sahaja sebanyak 173 kes penceraian berlaku setiap hari.

Jumlah ini bukan kecil, malah ada yang mengatakan jumlah yang tinggi ini digandingkan pula dengan umur purata penceraian (yang semakin hari semakin muda) merupakan satu epidemik yang sedang melanda ke atas institusi kekeluargaan di Malaysia.

Mungkin sebagai menteri wanita wajar perkara ini diberi tumpuan terlebih dahulu, khususnya dalam isu penjagaan hak wanita selepas berlakunya penceraian.

Rata-rata kebanyakan kes penceraian khususnya yang melibatkan zuriat, perkara utama yang menjadi pertikaian ialah isu tuntutan nafkah anak apabila banyak bekas suami mengambil kesempatan hasil dari perbezaan bidang kuasa mahkamah syariah mengikut negeri dan kelemahan penguatkuasaan untuk mengelak daripada melaksanakan serta menunaikan tanggungjawab mereka.

Ini bukan perkara yang asing. Dalam pilihan raya umum baru-baru ini, timbul kes tuntutan nafkah calon PAS bagi kawasan parlimen Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh yang dilaporkan mempunyai tunggakan nafkah untuk anak sejak 2011 hasil perkahwinan beliau sebelum ini dengan seorang wanita mualaf dari Kemboja.

Ada ketidakadilan yang amat ketara apabila ada seorang bapa yang lebih rela membayar wang deposit bertanding pilihan raya berbanding menunaikan tanggungjawab ke atas anaknya sendiri. Bayangkan kesusahan seorang ibu tunggal membesarkan anak-anak apabila ditinggalkan oleh suami yang tidak bertanggungjawab, ibarat gantung tak bertali sambil si suami yang bahagia dengan isteri baru, sibuk pula hendak menjadi ahli Parlimen.

Sekiranya Yang Amat Berhormat timbalan perdana menteri benar-benar mahu membantu wanita, saya syorkan daripada memberi tumpuan kepada skim caruman KWSP untuk suri rumah yang berbentuk umum tanpa melihat kepada keperluan yang sebenar, lebih wajar dan penting isu tuntutan nafkah tertunggak di mahkamah syariah ini diselesaikan terlebih dahulu, dengan kadar yang segera.

Mekanisme caruman KWSP mungkin boleh digunakan dalam kes-kes tuntutan ini apabila dengan mudahnya pihak kerajaan boleh memantau pendapatan bekas suami, seterusnya menguatkuasakan caruman tuntutan nafkah bagi pihak bekas isteri.

Tidak seperti dasar asal caruman untuk suri rumah yang mempunyai pelbagai takrifan bertindih dan tidak jelas, kes tuntutan nafkah dilihat lebih jelas untuk melaksanakan satu-satu dasar bagi membantu wanita khususnya mereka yang teraniaya.

Sememangnya dasar progresif yang memperkasakan wanita adalah sesuatu yang kita semua boleh bersetuju tanpa mengira politik kepartian. Namun dalam melaksanakan satu-satu dasar itu khususnya yang melibatkan kos sama ada daripada segi perlaksanaan atau pemberian subsidi, adalah lebih baik sekiranya kita memberi tumpuan kepada perkara yang lebih memerlukan.

Saya mohon mencadang, selaku pihak pembangkang di Malaysia ini, agar pihak kerajaan menimbang usul untuk mekanisme caruman KWSP ini diguna pakai terlebih dahulu bagi menyelesaikan pelbagai tuntutan dan tunggakan kesan kes penceraian agar dapat kerajaan masa kini benar-benar menegakkan keadilan, kesaksamaan dan menyelesaikan kemelut kaum wanita serta anak-anak yang teraniaya pada hari ini.

Saya mohon mencadang. – 29 Mei, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

*


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen