Felda yang membantu peneroka kini membelenggu generasi kedua


Sheridan Mahavera

Peneroka mengakui kehidupan semakin teruk sejak ia diambil alih Felda Global Ventures Holdings Berhad empat tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Jun, 2017.

BAYANGKAN situasi ini. Anda bersetuju mengambil pinjaman daripada bank tetapi mereka tidak memberitahu berapa jumlahnya atau maklumat terkini mengenai berapa banyak hutang dan tempoh pembayaran balik.

Anda hanya diberitahu perlu membayar antara RM300 hingga RM400 setiap bulan, yang ditolak daripada gaji.

Situasi ini diburukkan lagi dengan hakikat pihak bank enggan memberitahu anda sejauh manakah hutang tersebut dikurangkan dengan jumlah ansuran bulan yang telah dibayar.

Inilah yang dirasai peneroka Felda hari ini, yang memberitahu kehidupan semakin teruk sejak skim berusia 61 tahun itu terikat kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) empat tahun lalu.

Mereka percaya masalah baru ini mempunyai kaitan dengan FGV yang diwujudkan daripada ilham Perdana Menteri Najib Razak dengan kontroversi silih berganti, dan harga sahamnya yang semakin merudum.

Malah ia juga digelar firma kedua dilanda skandal terbesar di negara ini selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut peneroka generasi pertama dan kedua di Pahang ditemui The Malaysian Insight, hutang ditanggung bukanlah masalah paling teruk yang mereka hadapi.

Sehingga September tahun lepas, peneroka boleh mengharapkan dua kali bayaran dalam sebulan apabila menyerahkan hasil ladang dua kali sebulan, kata Mohd Tarmizi Mohd Salleh dari Felda Jengka 10.

Bergantung kepada berapa banyak Felda membayar bagi satu tan kelapa sawit –  kini berharga secara purata antara RM400 hingga RM500 setan – ini bermakna peneroka dijangka menerima gabungan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Namun kini kata Tarmizi, generasi penanam kedua hanya dibayar sekali sebulan. Justeru, pendapatan mereka dibahagi separuh iaitu antara RM1,800 hingga RM2,000.

“Mereka memberitahu kami pembayaran kedua, yang biasanya diberikan pada bulan yang sama, akan dibawa ke bulan seterusnya. Kemudian bulan depan mereka melakukan perkara yang sama dengan hasil ladang bulan tersebut.”

Sistem baru ini, kata seorang lagi generasi kedua peneroka Sharizal Mohd “sangat mengecewakan”.

“Pembayaran pertama pada awal bulan, kami gunakan untuk membayar pinjaman kereta atau motosikal dan bil utiliti,” kata Sharizal daripada Felda Gelangi Satu.

“Pembayaran kedua pula kami gunakan untuk makanan dan keperluan harian. Jadi, sekarang kita perlu menggunakan pembayaran pertama untuk semuanya. Ia seperti anda membuat kerja bagi syarikat tetapi mereka membayar anda lewat.”

The Malaysian Insight menghubungi FGV dan sedang menunggu tindak balas mereka terhadap aduan peneroka.

Prestasi merudum

Ditubuhkan perdana menteri kedua yang juga bapa kepada Najib, Abdul Razak Hussein, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dipuji di seluruh dunia kerana berjaya mengurangkan kemiskinan di kalangan petani yang tidak mempunyai tanah Malaysia.

Pada 2012, pentadbiran Najib membenarkan FGV mengambil alih 335,000 hektar ladang Felda.

FGV bagaimanapun, dikritik hebat sejak ia disenaraikan di pasaran saham Malaysia pada Jun 2012.

Pada 2015, ia membatalkan rancangan membeli 37% kepentingan dalam syarikat minyak sawit PT Eagle High Plantations pada nilai pasaran lebih tinggi berikutan bantahan daripada pemegang saham.

Pada masa itu, harga saham RM4.55 ketika pertama kali tersenarai menjunam kepada RM1.66 pada hari ini.

Kontroversi terbaru FGV melibatkan perebutan kepimpinan antara Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dengan Pengerusi serta bekas bos Umno Mohd Isa Abdul Samad.

Kedua-duanya saling menuduh berlaku salah urus berkaitan kewangan dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Generasi peneroka kedua seperti Tarmizi dan Sharizal hanya mampu melihat FGV salah laku pihak pengurusan.

Bagaimanapun, aktivis politik Wan Mohd Shahrir Abdul Jalil berpendapat masalah pihak atasan turut memberi kesan kepada peneroka dalam bentuk hutang yang mereka perlu bayar semula dan bayaran tunggakan hasil ladang.

“Apabila Felda diuruskan (bekas pengerusi kumpulan) Raja Muhammad Alias (Raja Muhammad Ali), ia mempunyai RM9 bilion dalam bentuk aset, RM4.5 bilion daripadanya dalam bentuk wang tunai. Selepas FGV mengambil alih, ia kini hanya mempunyai RM200 juta aset dan wang tunai.

“Mereka juga mencatatkan RM13.4 bilion kerugian dalam tempoh empat tahun. Bagaimana ini berlaku?” Kata Wan Shahrir, yang mengetuai pasukan petugas Felda bagi parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Akaun dan penyata Felda menunjukkan FGV tidak mempunyai keuntungan mencukupi untuk menguruskan penempatan dan perladangan, kata Wan Shahrir.

“Kecurigaan adalah mereka tidak mempunyai wang tunai untuk menguruskan ladang seperti dahulu. Jadi, itulah sebabnya mereka berhenti membayar peneroka dua kali sebulan.”

Hutang dan penghambaan

Pinjaman yang dimaksudkan peneroka adalah kos FGV yang terkumpul bagi penanaman semula dengan pokok baru bermula 2000.

Sepanjang tempoh tiga tahun penanaman semula, peneroka diberi RM1,500 elaun sara hidup sementara menunggu pokok mengeluarkan hasil.

Selepas ia mula mengeluarkan hasil, peneroka boleh memilih sama ada membiarkan FGV mengendalikan hasil ladang sementara mereka memperoleh elaun bulanan. Atau mereka boleh mengambil kembali dan menguruskan ladang mereka dengan sendiri.

Daripada 360 peneroka di Felda Gelangi, 300  mengambil kembali tanah untuk menguruskannya sendiri kerana boleh mendapat pendapatan lebih, kata Wan Shahrir.

Peneroka seperti Nazrul Fauzan menerima hakikat bahawa mereka perlu membayar balik Felda kerana perkhidmatan penanaman semula tetapi mempersoalkan jumlah sebenar hutang itu.

“Ada yang membayar sejak tiga, lima atau tujuh tahun yang lalu. Tetapi mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai jumlah hutang atau status ansuran sepanjang tahun itu,” kata Nazrul daripada Felda Gelangi Satu.

“Hanya pada Disember tahun lepas kami mendapat kenyataan mengenai jumlah hutang. Tetapi tidak ada penjelasan berapa banyak ansuran bulanan kami yang dibayar berjaya mengurangkan hutang kami,” kata Nazrul, sambil menambah apabila kenyataan itu diterima, ibunya berhutang dengan Felda lebih RM111,000.

Seorang lagi peneroka, Mijan Mohamad berkata bapanya menanam semula kebun kecilnya sendiri, dengan menggunakan wang keluarga tetapi turut terbabit dengan pinjaman RM100,000.

“Jadi, jika Felda berkata hutang itu bagi perkhidmatan penanaman semula maka mengapa keluarga saya perlu dikenakan bayaran juga?”

Kurangnya ketelusan daripada pihak Felda mengenai hutang ini menimbulkan syak wasangka yang firma itu mengutip lebih daripada jumlah hutang sebenar peneroka, kata Wan Shahrir.

Ditambah pula dengan masalah penangguhan bayaran hasil tuaian kedua bulanan mereka, peneroka percaya syarikat yang pernah membantu ibu bapa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan kini membelenggu mereka dengan hutang dan kesusahan.

“Malah apabila FGV dilancarkan, kerajaan berkata ia akan menjadikan kami lebih kaya. Tetapi ia menyebabkan keadaan lebih teruk,” kata Tarmizi. – 14 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen