POLIS menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan melibatkan pekebun durian esok di Dataran Pasar Sungai Klau di Raub, Pahang.
Ketua Polis Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menghadiri perhimpunan tersebut kerana ia tidak diluluskan oleh pemilik tempat seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata polis dimaklumkan oleh penganjur acara minggu lalu tetapi makluman tersebut tidak mematuhi tempoh notis 10 hari yang ditetapkan oleh Akta tersebut.
“Kita juga menerima bantahan untuk mengadakan perhimpunan itu daripada penduduk setempat termasuk pemilik tempat Majlis Daerah Raub dan dengan mengambil kira semua perkara terbabit perhimpunan itu tidak diluluskan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak ingkar dan menyertai perhimpunan itu,“ katanya kepada Bernama.
Sebelum ini Save Musang King Alliance (SAMKA) memaklumkan Perhimpunan Pekebun itu diadakan bagi menarik perhatian masyarakat terhadap kesulitan yang dihadapi pekebun di Raub serta menuntut pihak berkenaan menyewa tanah kebun secara sah kepada pekebun untuk menanam dan menjual durian selain terus menyumbang kepada industri durian di Malaysia.
SAMKA mendakwa sejak kes semakan kehakiman pekebun durian Musang King Raub ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 April lalu, pekebun durian di Raub menghadapi kesulitan, sering berdepan dengan tekanan dan gangguan dari kerajaan negeri, konsortium dan pihak penguatkuasa. – 6 September, 2024.
Komen