Elak lambakan, proses durian jadi produk alternatif


MUSIM durian kini kembali. Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus Murr. merupakan sejenis buah-buahan tropika yang memberikan aroma yang kuat dan rasa yang enak.

Terdapat hampir 200 jenis durian yang telah didaftarkan di Malaysia. Namun, lebih kurang 10 jenis durian sahaja yang disyorkan untuk ditanam secara komersial kerana menerima permintaan tinggi dan mempunyai penggemarnya tersendiri seperti Musang King, Udang Merah, IOI, Duri Hitam, Dato Nina, Hajah Hasmah dan banyak lagi.

Durian atau lebih dikenali sebagai raja buah adalah buah tropika yang sangat popular di Asia dan menjadi daya tarikan kepada pelancong di seluruh dunia.

Malah, apabila musim raja buah ini tiba, masyarakat akan lebih tertumpu kepada raja buah ini berbanding buah-buahan lain.

Berikutan cuaca panas di Malaysia pada kali ini, durian dianggap menjadi pada tahun ini dan telah memberikan rezeki yang berlipat kali ganda kepada pekebun-pekebun durian yang ada hasil di kebun.

Limpahan raja buah ini di pasaran telah menstabilkan harga durian, dan sedikit sebanyak melegakan peminat durian untuk menikmati keenakan rasanya sehingga puas untuk dinikmati.

Ini juga peluang kepada pengusaha produk hiliran atau industri kecil sederhana (IKS) memproses durian untuk dijadikan pelbagai produk yang berasaskan durian.

Antara produk ini pes durian, dodol durian, lempuk, aiskrim, kuih-muih, tempoyak, serbuk durian dan lain-lain.

Pes durian dan tempoyak adalah produk hiliran yang boleh disimpan dan dijaga keawetannya untuk lebih lama dengan kaedah penyimpanan yang betul.

Berikut adalah beberapa tips dalam membuat dan menyimpan pes durian supaya kekal tahan lebih lama.

Perkara utama adalah memilih durian yang matang dan masih elok, tidak masam atau tidak rosak. Ini bagi memastikan kualiti pes atau tempoyak yang dihasilkan sentiasa terjaga dan memberikan rasa yang enak seperti durian segar.

Hindari memilih durian yang terlalu matang atau terlalu mentah dan elakkan menggunakan durian yang telah rosak.

Pisahkan isi durian dengan biji durian dan diletakkan isi durian di dalam bekas yang bersih. Pastikan bekas tersebut benar-benar bersih bagi memastikan kualiti isi durian yang akan dibekukan terjaga. Pastikan juga isi durian tidak bercampur dengan air agar isi durian kekal segar.

Untuk membuat pes durian, boleh ditambah dengan gula pasir supaya memberikan sedikit rasa manis pada pes durian.

Gaul secara rata dan kemudian pes durian bolehlah disimpan di dalam bekas yang kedap udara bagi mencegah durian teroksidasi. Kemudian, pes durian berkenaan bolehlah disimpan di dalam peti sejuk di ruangan sejuk beku atau freezer.

Durian dapat disimpan lama beberapa bulan jika dalam keadaan beku. Pada luar musim durian, pes ini dapat membantu pengusaha IKS untuk menghasilkan produk lain dalam pelbagai bentuk dan berasaskan durian tanpa sebarang masalah untuk mendapatkan durian pada waktu di luar musim.

Pes durian memiliki beberapa kebaikan, antaranya adalah rasa dan aroma durian yang kuat dan khas. Pes durian ini mampu mempertahankan ciri-ciri durian dari sudut rasa dan aromanya yang istimewa ini, sehingga orang yang menyukai durian dapat menikmati rasa dan aroma durian dalam produk tersebut.

Selain itu, pes durian dapat membekalkan sumber nutrisi seperti vitamin C, vitamin B, serat, zat besi, kalium, kalsium dan sumber tenaga karbohidrat.

Sedikit kelainan apabila pes durian ini dijadikan menu masakan durian goreng. Tepung gandum, tepung beras, garam, air, sedikit serbuk kunyit digaul dan dibancuh menjadi batter seperti bancuhan tepung untuk menggoreng pisang.  

Pes durian ini dicelup dalam tepung dan digoreng seperti kaedah memasak pisang goreng atau cempedak goreng.

Tempoyak durian pula adalah salah satu produk yang dihasilkan dari fermentasi isi durian dengan garam dalam jangka waktu tertentu. Proses fermentasi ini menghasilkan isi durian yang kaya akan rasa, aroma, dan tekstur yang khas.

Tempoyak durian sangat popular di Malaysia untuk digunakan dalam masakan seperti ikan patin masak tempoyak, gulai tempoyak, sambal tempoyak dan banyak lagi.

Keunikan rasa dan aroma tempoyak yang unik seperti ada rasa masam, masin, aroma yang tempoyak durian yang kuat dan tajam juga memberikan pengalaman rasa yang unik.

Meskipun tempoyak durian memberikan rasa yang enak, namun perlu diingat, individu yang mempunyai masalah pencernaan tertentu perlu sentiasa berhati-hati apabila menikmati makanan yang berasaskan tempoyak durian bagi mengelakkan kemudaratan.

Makanan yang difermentasi mengandungi penggunaan jumlah garam yang tinggi dan tidak disarankan untuk dimakan dalam kuantiti yang banyak dan secara berlebihan.

Selain idea-idea ini, kombinasi dan inovasi sendiri dalam mengolah durian untuk menjadi produk-produk baharu lain yang lebih menarik harus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Ini bagi memastikan adanya kepelbagaian produk yang dihasilkan seiring dengan penghasilan buah durian yang banyak.

Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya lambakan buah durian yang akhirnya rosak dibuang begitu sahaja jika tiada kepelbagaian produk hiliran berjaya dihasilkan. – 19 Jun 2023.

* Mahani Amat pegawai pertanian kanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Putra Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen