Ketibaan pelancong asing ke Vietnam melonjak pada Februari


Lonjakan ketibaan pelancong ke Vietnam disebabkan pembukaan semula sempadan negara serta operasi penerbangan komersial dan antarabangsa kembali pulih. – Gambar AFP, 28 Februari 2023.

VIETNAM menyaksikan 933,000 ketibaan antarabangsa pada Februari, melonjak 31.6 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Pejabat Perangkaan Am (GSO) negara itu pada Selasa.

Lonjakan ketibaan pelancong disebabkan oleh pembukaan semula sempadan negara serta operasi penerbangan komersial dan antarabangsa kembali pulih, lapor Xinhua.

Dalam tempoh itu, pelancong asing yang memilih menggunakan laluan udara menyumbang 89.6% ketibaan di Vietnam, diikuti jalan darat (9.6%) dan laluan laut (0.8%).

Data menunjukkan kebanyakan ketibaan adalah dari Asia dengan kira-kira 74%.

Ketibaan pelancong asing dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini meningkat kepada 1.8 juta, atau lonjakan 36.6 kali ganda daripada tempoh yang sama tahun lalu, tetapi masih di bawah 60% daripada paras pra-pandemik pada 2019, menurut GSO.

Kira-kira 3.7 juta pelancong antarabangsa tiba pada 2022 dan Vietnam menyasarkan ketibaan asing sebanyak 8 juta pada 2023, menurut Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan Vietnam. – Bernama, 28 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen