Permintaan durian kurang akibat cuaca panas berpanjangan, kata pekebun


Harga durian jatuh sejak dua minggu lalu berikutan permintaan yang kurang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei 2023.

CUACA panas berpanjangan yang melanda negara kini bukan sahaja menyebabkan permintaan terhadap durian semakin berkurangan, malah menjejaskan hasil pengeluaran raja buah itu, kata pengusaha dan pemilik 8321 Durian Plantation Yeap Gaun Fong.

Yeap, 45, berkata hasil tuaian musim durian kali ini adalah 30% lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Semasa pokok durian berbunga, terdapat gugusan putik durian, tetapi cuaca panas menyebabkan putik durian ini gugur.

“Cuaca panas menyebabkan orang kurang makan durian. Ramai pembeli datang, tetapi mereka hanya membeli sebiji atau dua biji buah…mereka tak berani nak makan durian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, harga raja buah itu juga jatuh sejak dua minggu lalu berikutan permintaan yang kurang.

Yeap, yang memiliki enam ladang durian di seluruh Pulau Pinang, menambah harga durian musim ini turun kira-kira 50% berbanding tahun lepas.

“Dua minggu lalu, saya menjual durian Musang King gred A pada harga RM75 sekilogram dan kini hanya RM50 sekilogram… Durian Udang Merah pada mulanya dijual pada harga RM50 sekilogram, dan kini hanya RM35 sekilogram… manakala durian kampung kini dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini,” katanya.

Memandangkan musim durian baru bermula tiga minggu lalu, beliau berkata sukar untuk diramal sama ada musim ini memberi untung atau sebaliknya.

“Kami perlu menunggu sehingga pertengahan atau akhir musim untuk mengetahui sama ada kami dapat untung atau rugi kali ini. Mungkin terdapat peningkatan permintaan semasa cuti sekolah minggu depan,” tambahnya.

Ladang Durian 8321 dan gerai tepi jalan milik beliau terletak di Jalan Teluk Bahang dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 8 malam. – Bernama, 26 Mei 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen