Pendigitalan boleh pacu pertanian, kata Gobind


Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sektor pertanian akan dapat menyumbang lebih banyak kepada KDNK negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2024.

INFRASTRUKTUR 5G yang kuat akan dapat memacu digitalisasi sektor pertanian, memberikan petani peluang untuk menjadi sebahagian daripada era digital yang dapat membantu mereka memaksimumkan keuntungan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kementerian itu akan menjadi platform menghubungkan semua sektor ekonomi dengan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan untuk merangsang sambungan digital.

“Kementerian dan agensinya akan menjadi pusat sehenti bagi membantu meningkatkan kadar digitalisasi di negara ini.

“Ia akan membabitkan semua spektrum, menghubungkan semua jentera kerajaan dengan sektor swasta bagi melonjakkan sambungan dan penggunaan (IoT),” katanya pada majlis pelancaran kerjasama antara CelcomDigi Berhad dan BoomGrow Productions Sdn Bhd untuk kemampanan pertanian di Pulau Pinang.

Laporan November 2021 bertajuk “Anggaran kesan ekonomi Rangkaian 5G Borong Tunggal di Malaysia” mengunjurkan peningkatan 2.6% dalam aplikasi digital kepada sumbangan KDNK sektor pertanian pada tahun 2030.

“Itu bersamaan dengan peningkatan tambahan RM3.5 bilion,” kata Gobind, sambil menambah bahawa penggunaan teknologi bukan sahaja akan memelihara alam sekitar tetapi juga menjamin bekalan makanan, mengukuhkan ekonomi, dan mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam pertanian mampan di seluruh Tenggara Asia.

Beliau berharap ini akan menggalakkan lebih ramai petani menyesuaikan diri dan menerima pakai inisiatif digital.

Pertanian di Malaysia menyumbang 7.2% kepada KDNK negara pada suku kedua tahun ini, yang merupakan lonjakan besar berbanding 1.7% pada suku pertama tahun ini.

“Dengan mendigitalkan kaedah pertanian, saya yakin sektor pertanian akan dapat menyumbang lebih banyak kepada KDNK negara.

“Perjalanan ke arah merealisasikan faedah penuh 5G mesti dilakukan melalui kerjasama awam dan swasta,” katanya.

Gobind juga mahu lebih banyak syarikat korporat meneroka inovasi dan model 5G kreatif yang boleh memacu keusahawanan dan mencipta model perniagaan baharu. – 31 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen