Pemilihan rangkaian 5G kedua menjelang akhir tahun, kata Gobind


Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata semua syarat perjanjian langganan saham telah dipenuhi oleh semua MNO.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2024.

PROSES pemilihan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk peralihan kepada model dual wholesale network (DWN) 5G dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata semua syarat perjanjian langganan saham (SSA) telah dipenuhi oleh semua MNO dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak sabar untuk memulakan proses pemilihan, iaitu peringkat kedua ke arah keputusan mengenai siapa yang akan membangunkan rangkaian 5G seterusnya.

“Mereka (SKMM) tidak diberi tempoh masa untuk proses itu tetapi saya harap ia boleh mula bergerak sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran produk pelaburan emas TNG Digital Sdn Bhd, e-Mas, hari ini.

Pada awal Mei, Gobind berkata lembaga pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) yang baharu dilantik akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk meneliti laporan usaha wajar berhubung perjanjian penjualan saham 5G sebelum membuat sebarang cadangan mengenai hala tuju rangkaian 5G kedua.

Beliau berkata kedudukan kerajaan adalah jelas bahawa rangkaian 5G kedua akan diperkenalkan selepas beberapa prasyarat SSA antara pengendali rangkaian mudah alih dan DNB telah dipenuhi.– 2 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen