MAHKAMAH Rayuan membenarkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman menggunakan pasportnya bagi membolehkannya ke Bangkok, Thailand.
Syed Saddiq memerlukan pasportnya bagi menghadiri Pavilion Halal Asean yang dianjurkan oleh Kumpulan Tahira di Bangkok pada Jumaat dan Sabtu ini.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Che Mohd Ruzima Ghazali dan Ahmad Zaidi Ibrahim serta Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin membenarkan permohonan Syed Saddiq selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali tidak membantahnya.
Sebelum ini. peguam Syed Saddiq, Hisyam Teh Poh Teik berkata anak guamnya dijemput oleh Kumpulan Tahira ke acara tersebut dan pasport itu akan dikembalikan kepada mahkamah selepas pulang dari Bangkok pada Isnin (19 Ogos).
Beliau juga meminta mahkamah untuk menyediakan surat pengesahan bagi pembebasan sementara pasport kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk memudahkan perjalanan Syed Saddiq ke Thailand.
Dalam afidavit yang menyokong permohonannya, Syed Saddiq berkata beliau bukan risiko melarikan diri dan mahkamah sebelum ini membenarkan pasportnya untuk ke luar negara dan beliau mengembalikan pasport tersebut kepada mahkamah selepas pulang ke Malaysia.
Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq disabitkan dengan hukuman tujuh tahun penjara dan didenda RM10 juta serta dua sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, penyalahgunaan dana dan pengubahan wang haram.
Beliau kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.
Syed Saddiq, 31, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020 didakwa membantu bekas penolong bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan RM1 juta daripada dana Armada untuk melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6 Mac 2020.
Untuk pertuduhan kedua beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 dari akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan mengarahkan Rafiq untuk menghapuskan wang tersebut.
Syed Saddiq juga didakwa dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram melalui transaksi RM50,000 setiap satu yang dipercayai merupakan hasil daripada aktiviti haram dari akaun Maybank Islamic Bhd beliau ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan semua hukuman sementara menunggu rayuan.
Pengurusan kes ditetapkan pada 20 September. – 14 Ogos, 2024.
Komen