Muhyiddin gagal dapat pasport secara kekal 


Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin meminta pasportnya dikembalikan untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2023.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan Muhyiddin Yassin supaya pasportnya dikembalikan kepadanya secara kekal tetapi membenarkan untuk dapatkan secara sementara.

Ahli Parlimen Pagoh itu meminta pasportnya dikembalikan untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.

Hakim Azura Alwi memutuskan bekas perdana menteri masih mempunyai hak untuk memfailkan pemulangan sementara pasportnya bagi tujuan itu, tertakluk kepada kelulusan mahkamah.

Selepas hujahan lisan ringkas oleh peguamnya K Kumaraendran dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, Azura membenarkan pelepasan sementara pasport Muhyiddin.

Dia akan menggunakan dokumen perjalanan itu mulai hari ini hingga 15 Januari, 2024.

Pada 16 Oktober, Muhyiddin memfailkan notis permohonan supaya mahkamah mengubah bon yang dikenakan ke atasnya bagi pelepasan tanpa syarat pasport antarabangsanya.

Dalam afidavit sokongannya, Muhyiddin berkata percutian ke luar negara adalah penting kerana tahun ini merupakan tahun yang tertekan baginya dan keluarga.

“Sudah menjadi tradisi bagi saya dan keluarga untuk bercuti selama sebulan setiap tahun dan tahun ini tidak terkecuali kerana saya berhasrat untuk membawa keluarga ke London pada hujung tahun untuk bercuti.

“Saya dimaklumkan oleh ejen pelancongan saya bahawa adalah mencabar untuk mendapatkan tiket penerbangan dan mengatur percutian untuk kumpulan besar ke London, terutamanya menjelang musim Krismas dan Tahun Baharu pada awal 2024,” katanya dalam afidavit sokongan. 

Selain itu, Muhyiddin juga berkata beliau berhasrat untuk menjalani ujian tekanan jantung pada treadmill di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.
 
“Sebelum ini, saya menjalani ujian tekanan jantung tanpa treadmill ini di Mayo Clinic di Amerika Syarikat beberapa tahun lalu. Saya telah dinasihatkan oleh doktor saya bahawa Hospital Mount Elizabeth di Singapura mempunyai rawatan atau peralatan diagnostik yang sama seperti yang saya lakukan di Mayo Clinic.

“Oleh itu, saya berhasrat untuk pergi ke Singapura untuk pemeriksaan kesihatan saya,” katanya sambil turut menyatakan beliau tidak pernah gagal menghadiri sebarang perbicaraan kes.

Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk melepaskannya tanpa bebas (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
 
Presiden Bersatu itu menghadapi dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.
 
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di Kuala Lumpur, antara 25 Februari dan 16 Julai 2021, dan antara 8 Februari dan 8 Julai 2022.
 
Muhyiddin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun ini atas pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM5 juta dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk perbicaraan bersama.

Pada 15 Ogos, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu dan perbicaraan ditetapkan pada 28 dan 29 Februari tahun depan. – 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen